Sumber Gambar: Socceroos

Dua pemain import yang pernah mewarnai Liga Malaysia, Andrew Nabbout dan Dimitri Petratos akan berangkat ke Piala Dunia sekiranya kedua-dua pemain berjaya menambat ketua jurulatih Australia, Bert Van Marwijk. Ketika ini, Van Marwijk sedang melakukan penilaian terhadap 26 pemain setelah beliau menggugurkan 6 pemain sebelum ini.

Dalam saingan Liga Malaysia ni, siapa yang tidak kenal dengan Andrew Nabbout dan juga Dimitri Petratos. Andrew Nabbout pernah mewakili Negeri Sembilan pada 2015 manakala Dimitri Petratos pernah mewakili pasukan Kelantan pada musim 2013.

Meskipun hanya setengah musim saja beraksi dengan Negeri Sembilan, namun Nabbout berjaya menjaringkan 9 gol dalam saingan Liga Perdana musim 2015. Penyingkiran beliau ketika itu nyata mengundang marah peminat setia Negeri Sembilan.

Bagi Petratos pula, aksi beliau hanya terhad ketika kejohanan Piala AFC sahaja memandangkan penggunaan pemain import yang dibenarkan dalam saingan Liga Malaysia ketika itu hanya dua pemain.

Walau begitu, Petratos masih mampu untuk menunjukkan prestasi yang baik apabila beliau berjaya menjaringkan empat gol dan membantu Kelantan mara sehingga ke peringkat suku akhir dalam kejohanan Piala AFC 2013.

Tahun silih berganti, kini kedua-dua penyerang ini berkemungkinan besar akan dibawa oleh Van Marwijk ke Piala Dunia di Rusia bagi mewakili pasukan kebangsaan Australia. Akan tetapi, Nabbout dan Petratos harus menghadapi cabaran daripada pemain penyerang lain bagi mendapatkan tempat duduk dalam kapal terbang menuju ke Rusia nanti.

Antara penyerang yang mencabar Nabbout dan Petratos adalah penyerang yang berpangkalan di Scotland iaitu Jamie MacLaren yang dipanggil bagi menggantikan Tomi Juric yang mengalami kecederaan. Seorang lagi penyerang yang mampu mencabar ialah James Troisi yang bermain untuk Melbourne Victory.

Walau apa pun, jika terpilih untuk ke Piala Dunia, ini merupakan satu pencapaian terbaik dalam karier dua pemain ini. Dahulunya yang menjadi pemain buangan dalam saingan Liga Malaysia, kini menjadi pemain yang berpotensi untuk bermain dalam temasya Piala Dunia.

Apa pendapat anda mengenai peluang Andrew Nabbout dan Dimitri Petratos untuk bermain dalam temasya Piala Dunia edisi kali ini ? Mampukah mereka menambat hati Bert Van Marwijk sekaligus menyenaraikan mereka dalam skuad akhir Ausralia ?

Leave a Reply