Sumber Gambar: mStar

Setelah Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal meluahkan hasrat untuk meletak jawatan beliau sebagai presiden, nama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menerajui badan berkenaan.

Nama Tengku Amir sebelum ini pernah disebut-sebut sebagai presiden baru FAS ketika persatuan ini membuat pemilihan presiden pada awal tahun lalu. Namun, Tengku Amir tidak menghantar pencalonan dan Datuk Seri Subahan menang tanpa bertanding.

Datuk Seri Subahan juga bersedia untuk memberi kerjasama agar peralihan kuasa dalam FAS berjalan dengan lancar. Namun, segala keputusan harus dibuat melalui Mesyuarat Exco FAS yang akan diadakan Khamis ini.

Sebab utama mengapa Datuk Seri Subahan mahu melepaskan jawatan beliau selaku Presiden FAS ialah beliau mahu menumpukan perhatian kepada dua lagi tugas iaitu sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). Nampaknya 10 kerja yang diwar-warkan beliau sebelum ini tinggal dua kerja sahaja.

Jika Tengku Amir dipilih sebagai Presiden FAS yang seterusnya, maka perkara pertama yang perlu diselesaikan oleh baginda ialah masalah kewangan yang sedang melanda pasukan ketika ini. Tengku Amir perlu memastikan para pemain ddibayar gaji mereka kerana terdapat laporan bahawa pemain Selangor sudah dua bulan tidak mendapat gaji.

Perkara seterusnya ialah mendapatkan pemain import yang berkualiti bagi menggantikan pemain sedia ada. Ketika ini, Selangor perlukan pemain import yang boleh membantu memperkuatkan pasukan khususnya di bahagian pertahanan.

Walau apa pun, kita harus menunggu hasil daripada Mesyuarat Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada Khamis ini bagi menentukan siapa yang akan menjadi Presiden baru FAS.

Apa pendapat anda mengenai siapa yang layak untuk menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baru ? Adakah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah calon yang tepat untuk memimpin badan induk bola sepak Selangor ini ?

Baca Juga: Adakah Perubahan Kuasa Bakal Beri Impak Kepada Selangor ?

Leave a Reply