Sumber Gambar: Semuanya Bola

Macam-macam isu yang melanda pasukan Kelantan ketika ini. Apatah lagi setelah tewas dengan keputusan 4-0 kepada pasukan Selangor pada minggu lalu. Baru-baru ini, terdapat desas-desus mengatakan bahawa pemain import baru enggan menyertai pasukan kerana masalah dalaman yang dialami.

Menurut sumber yang memberitahu kepada penulis, pelbagai isu yang melanda pasukan ketika ini menjadi punca mengapa pemain import baru enggan untuk menyertai pasukan. Dan jika benar perkara ini berlaku, maka pasukan Kelantan harus segera menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda mereka ketika ini.

Bukan hanya isu pemain yang harus dihadapi oleh pasukan Kelantan. Ketua jurulatih pasukan, Fajr Ibrahim dikhabarkan menghilangkan diri setelah perlawanan menentang Selangor minggu lalu. Fajr sepatutnya mengendalikan sesi latihan pasukan sebelum Kelantan menghadapi Kedah esok.

Tidak ketinggala penaja utama The Red Warriors (TRW) iaitu Yakult (M) Sdn. Bhd yang mahu Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan dan jurulatih Fajer Ibrahim bertanggungjawab sepenuhnya ke atas prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengarah Urusan Yakult iaitu Hiroshi Hamada berkata setelah menghabiskan wang tajaan, mereka perlu memastikan pasukan mengutip seberapa banyak mata bagi mengekalkan status dalam saingan Liga Super dan tidak menjadikan orang lain sebagai kambing hitam mereka.

Turut bersuara bekas Presiden KAFA iaitu Tan Sri Annuar Musa yang menasihati KAFA agar mereka merehatkan Fajr Ibrahim buat sementara waktu. Beliau juga tidak menyangka Fajr akan menurunkan barisan pemain sepertimana ketika Kelantan tewas kepada Selangor minggu lalu.

Entah musibah apa lagi yang akan melanda pasukan Kelantan pada kemudian hari. Dengan ketua jurulatih hilang dari radar, pemain import enggan menyertai pasukan serta presiden yang hanya mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat dan tiada usaha untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Jika tidak diselesaikan dengan kadar yang segera, maka pasukan Kelantan ini hanya menunggu masa untuk retak dan terjerumus ke saingan Liga Super musim hadapan. Dan jika perkara ini berlaku, maka bola sepak Kelantan akan mengambil masa yang lama untuk mereka bangkit semula.

Baca Juga: Selamat Tinggal Liga Super ?

Leave a Reply