Sumber Gambar: Kedah FA

Fajr Ibrahim hilang, Kelantan menang. Itulah yang terjadi di Stadium Darul Aman semalam apabila pasukan Kelantan berjaya mengejutkan pasukan Kedah dengan kemenangan 2-1. Apa yang jelas di sini adalah Kelantan tidak lagi perlukan Fajr Ibrahim sebagai jurulatih mereka!

Walaupun diasak secara bertubi-tubi pada perlawanan semalam, namun pemain Kelantan tidak gopoh, tetap berdisiplin dan juga tenang dalam menyerap segala asakan pemain Kedah. Kelantan perlu berterima kasih kepada penjaga gol berusia 37 tahun mereka iaitu Shahrizan Ismail kerana persembahan cemerlang beliau berjaya menafikan peluang Kedah untuk menjaringkan gol.

Yang paling gemilang adalah tindakan Shahrizan yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti Sandro Da Silva pada minit-minit akhir perlawanan. Berkat tindakan tersebut, Kelantan pulang dengan tiga mata penuh semalam.

Pemain muda Kelantan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan milik The Red Warriors semalam. Antara pemain muda yang menyerlah ialah Nik Azli yang berjaya menjaringkan satu gol dan menyumbang satu assist untuk Danial Ashraf menjaringkan gol kedua.

Pada perlawanan semalam, jurulatih sementara, Yusri Che Lah menurunkan dua pemain import pasukan iaitu pemain tengah, Bakhytiar Duyshobekov dan penyerang, Lazarus Kaimbi. Kedua-dua pemain import ini beraksi dengan baik semalam. Cuma mereka memerlukan beberapa perlawanan lagi bagi memantapkan lagi corak permainan mereka bersama pasukan.

Bagi pasukan Kedah pula, kealpaan di bahagian pertahanan yang menyebabkan mereka tewas semalam. Apatah lagi gol kedua pasukan lawan yang sepatutnya boleh dihalang, namun barisan pertahanan gagal untuk membuat offside trap untuk Danial Ashraf.

Dengan kemenangan ini, pasukan Kelantan kini mempunyai kutipan mata yang sama dengan pasukan Negeri Sembilan dengan 11 mata. Namun, perjalanan Kelantan masih lagi jauh dan mereka perlu mengekalkan momentum kemenangan jika mahu keluar dari zon penyingkiran.

Bagi pasukan bimbingan Nidzam Adha pula, kekalahan semalam membuatkan mereka berisiko untuk semakin jauh dengan kelompok atasan Liga. Mereka gagal mengutip untuk sekurang-kurangnya menduduki tangga ketiga sementara menunggu Pahang bermain pada hujung minggu ini.

Baca Juga: Fajr Jangan Jadi Macam Jamal!

Leave a Reply