Sumber Gambar: Deenamik

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa akan ada enam perlawanan persahabatan antarabangsa yang menanti Malaysia. Keenam-enam perlawanan persahabatan ini akan berlangsung pada Julai, September dan juga Oktober.

Malaysia akan menentang Fiji pada 5 Julai 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Selepas perlawanan menentang Fiji, pasukan Chinese Taipei dan Kemboja menanti Malaysia dimana perlawanan menentang kedua-dua pasukan ini akan berlangsung pada 7 dan 10 September dan akan diadakan di tempat lawan.

Malaysia akan ke Colombo bagi menentang Sri Lanka pada 12 Oktober sebelum melengkapkan jadual apabila menentang pasukan Kyrgyztan pada 16 Oktober 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. FAM juga sedang merangka satu perlawanan persahabatan kelas “A” yang dijadualkan pada 3 November. Namun, lawan Malaysia masih belum diketahui.

Perlawanan pada 3 November adalah perlawanan terakhir sebelum skuad Harimau Malaya terbang ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A Piala Suzuki AFF 2018 bertemu Kemboja pada 8 November 2018.

Enam perlawanan persahabatan ini adalah satu medan yang cukup baik untuk pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe mempersiapkan diri dan memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan. Selain itu, Tan Cheng Hoe boleh memberi peluang kepada pemain muda untuk menunjukkan kebolehan mereka.

Selain membuat persediaan untuk kejohanan Piala AFF Suzuki 2018, enam perlawanan persahabatan ini juga peluang terbaik untuk skuad kebangsaan memperbaiki kedudukan dalam carta ranking FIFA. Ketika ini, Malaysia menduduki tangga ke-171. Tidak berganjak daripada kedudukan pada keluaran ranking sebelumnya.

Diharapkan pemain yang bakal dibawa nanti akan memberikan sepenuh perhatian mereka bagi meningkatkan lagi mutu da tahap permainan pasukan kebangsaan. Mereka juga perlu menampilkan aksi terbaik jika mahu dipilih untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 nanti.

Apa pendapat anda mengenai enam perlawanan persahabatan antarabangsa yang telah diatur oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini ? Adakah lawan yang akan dihadapi pasukan kebangsaan kita adalah lawan yang setimpal dengan kemampuan kita ?

Atau kita perlukan lawan yang lebih baik berbanding enam pasukan di atas ?

Baca Juga: Gandingan Nazmi-Azam Untuk Pasukan Kebangsaan ?

Leave a Reply