Sumber Gambar: Pahang FA

Pahang akan berdepan misi hidup dan mati malam ini apabila mereka akan berdepan pasukan Johor Darul Ta’zim di Larkin. Harapan untuk mengutip tiga mata penuh sudah pasti terletak di bahu pemain import pasukan iaitu Issey Nakajima dan Austin Amutu. Kedua-dua pemain perlu beraksi lebih baik malam ini berbanding perlawanan sebelumnya.

Issey dan Amutu dibawa masuk bagi menggantikan Francis Forkey Doe yang cedera dan Chan Vathanaka yang digugurkan. Kedua-dua pemain setakat ini berjaya menjaringkan satu gol buat Pahang dalam saingan Liga.

Akan tetapi, walaupun telah menjaringkan gol, persembahan kedua-dua pemain ini masih lagi gagal untuk meyakinkan peminat Pahang bahawa mereka mampu untuk menjulang pasukan Pahang. Rata-rata peminat mahukan lebih lagi daripada Issey dan Amutu.

Tidak dinafiikan sumbangan kedua-dua pemain buat pasukan Pahang setakat ini masih lagi belum mencapai standard yang ditetapkan. Issey dilihat belum memberikan impak dari sebelah sayap manakala Amutu belum menunjukkan ketajaman beliau di hadapan gol setakat ini.

Jika diturunkan pada perlawanan malam ini, kedua-dua pemain ini perlu beraksi lebih baik daripada sebelumnya kerana Pahang wajib untuk mengutip tiga mata penuh bagi merapatkan jarak dengan pasukan lawan dalam carta Liga Super.

Pahang kini berada lapan mata di belakang Johor Darul Ta’zim yang menghuni tangga teratas. Jika berjaya mengutip tiga mata penuh malam ini, maka persaingan untuk mahkota Liga Super akan kembali terbuka. Jika tewas, maka JDT akan semakin selesa berada di puncak dan semakin hampir dengan gelaran kelima.

Walau apa pun, sudah pasti kita akan disajikan permainan bola sepak terbaik daripada kedua-dua pasukan. Perlawanan antara Pahang menentang Johor Darul Ta’zim sememangnya tidak pernah lekang daripada pelbagai aksi dan juga kontroversi.

Apa pendapat anda mengenai Top of the table clash ini ? Pasukan manakah yang akan keluar sebagai pemenang ? Dan mampukah Issey Nakajima Farran dan Austin Amutu menampilkan persembahan terbaik mereka malam ini ?

Baca Juga: Mampukah Dua Fernando Mencipta Impak Malam Ini ?

Leave a Reply