Dua pasukan yang menghuni tangga teratas Liga Super, pasukan Johor Darul Ta’zim dan Pahang akan membuat perhitungan malam ini di Larkin. Bagi JDT, sudah tentu perhatian terarah kepada dua Fernando yang baru dibawa masuk. Persoalannya adalah, mampukah mereka mencipta impak ?

Dua Fernando yang dimaksudkan ialah Fernando Marquez dan Fernando Elizari. Kedua-dua pemain ini dibawa masuk daripada kelab Argentina, Defensa y Justicia bagi menggantikan Harry Novillo dan Jorge Santos Silva yang tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Fernando Marquez terlebih dahulu tiba di Johor dan sempat bermain satu perlawanan Liga ketika JDT menewaskan pasukan Perak dengan keputusan 2-0 di laman sendiri. Marquez berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut menerusi sepakan penalti.

Tidak banyak yang kita boleh perkatakan memandangkan kedua-dua pemain ini jarang digandingkan ketika beraksi untuk Defensa. Hanya Marquez saja yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama manakala Elizari hanya memanaskan bangku simpanan.

Walaupun begitu, kemasukan Marquez dan Elizari diharapkan dapat menyelesaikan kemelut di bahagian serangan pasukan JDT. Dua gandingan sebelum ini iaitu Jorge Pereyra Diaz-Luciano Figueroa dan Harry Novillo-Jorge Santos Silva dilihat tidak berjaya untuk menunjukkan aksi yang baik.

Walaupun Novillo dan Jorge Santos didatangkan dengan harga yang tinggi, namun mereka gagal untuk mencapai standard yang dimahukan oleh pasukan.

Perlawanan menentang Pahang malam ini akan menjadi ujian pertama buat Marquez dan Elizari menunjukkan kebolehan mereka. Apa yang penting, kedua-dua pemain ini harus segera menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan oleh Raul Longhi.

Ini kerana JDT wajib mengutip tiga mata penuh bagi memastikan jarak mata mereka dengan pasukan Pahang semakin besar dan berada hampir dengan mahkota Liga Super musim ini.

Apa pendapat anda mengenai gandingan dua Fernando iaitu Fernando Marquez dan Fernando Elizari yang berkemungkinan besar bakal diturunkan dalam perlawanan menentang Pahang malam ini ? Mampukah gandingan ini memberikan impak sekaligus memastikan tiga mata penuh menjadi milik Johor Darul Ta’zim ?

Baca Juga: Tragedi Lama Berulang Kembali ?

Leave a Reply