Sumber Gambar: GMS

Ketua pasukan Belgium, Eden Hazard menegaskan bahawa generasi emas Belgium mampu untuk memenangi temasya Piala Dunia edisi kali ini. Dibekalkan pemain yang sudah mempunyai pengalaman beraksi di liga utama Eropah dan juga mempunyai kualiti yang baik, Hazard percaya Belgium mampu melakukannya.

Pemain sayap Chelsea ini juga membandingkan Golden Generation antara Belgium dan juga pasukan England sewaktu England diwakili oleh pemain seperti David Beckham, Frank Lampard, Steven Gerrard dan Wayne Rooney.

Ketika England diwakili oleh empat pemain bintang ini, mereka tidak pernah memenangi sebarang kejohanan besar. Jadi, Hazard yakin pasukan emas Belgium kali ini akan lebih baik berbanding pasukan England.

Jika kita melihat kepada barisan pemain yang dibawa ke Rusia bagi menghadapi temasya kali ini, Belgium sememangnya menjadi pilihan utama untuk memenangi trofi Piala Dunia di Rusia nanti. Belgium boleh dikatakan pasukan yang lengkap di semua bahagian.

Mereka mempunyai Thibaut Courtois bagi mengawal gawang pasukan. Di bahagian pertahanan, ada Toby Alderweireld, Jan Vertonghen dan Vincent Kompany bagi mengekang segala asakan lawan.

Di bahagian tengah, mereka ada Si Pokok, Marouane Fellaini, Mousa Dembele dan Axel Witsel bagi melindungi barisan pertahanan daripada asakan pihak lawan. Dan yang paling mencuri perhatian adalah barisan serangan Belgium yang dibarisi oleh Eden Hazard, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku.

Tambah Hazard, Belgium mempunyai peluang yang sama rata jika dibandingkan dengan pasukan England saat ini. Kedua-dua pasukan mempunyai barisan pemain yang mempunyai kualiti yang cukup tinggi.

Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Belgium untuk memenangi temasya Piala Dunia edisi kali ini ? Dengan barisan pemain sedia ada, mampukah generasi emas pasukan Belgium menewaskan pasukan-pasukan besar seperti Brazil, Perancis, Jerman dan Argentina bagi memenangi trofi paling berprestij dalam dunia bola sepak tersebut ?

Baca Juga: Belgium Antara Calon Pilihan Juara

Leave a Reply