Sumber Gambar: JST

Pasukan Johor Darul Ta’zim semakin hampir untuk meraih mahkota Liga Super buat kali kelima setelah berjaya menundukkan pasukan Pahang dengan keputusan 1-0 semalam. Jaringan tunggal Harris Harun sudah cukup untuk memberikan JDT tiga mata penuh.

Perlawanan semalam dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan. Akan tetapi, barisan serangan JDT lebih berbahaya dengan Fernando Marquez beberapa kali berjaya meloloskan diri dan membuat percubaan ke arah Helmi Eliza Elias.

Asakan bertali arus JDT akhirnya membuahkan hasil apabila ketua pasukan, Harris Harun berjaya memanfaatkan umpanan Marquez. Gol tersebut sepatutnya boleh diselamatkan tetapi Bunyamin Omar sedikit terlambat untuk mengeluarkan bola.

Seperti dijangka, perlawanan semalam diwarnai dengan terjahan keras daripada pemain kedua-dua pasukan. Perbalahan diantara Mohamadou Sumareh dan La’Vere Corbin-Ong serta layangan kad merah kepada pemain Pahang, Safuwan Baharuddin menjadikan perlawanan lebih mendebarkan.

Bagi pasukan Pahang pula, ketumpulan barisan serangan membuatkan mereka tewas pada perlawanan semalam. Pahang turun tanpa Austin Amutu dan meletakkan R.Kogileswaran sebagai penyerang utama.

Akan tetapi, percaturan ini dilihat tidak berjaya apabila tiada sokongan yang kukuh daripada pemain sayap dan juga pemaim tengah Pahang. Issey Nakajima dan Mohamadou Sumareh dilihat gagal untuk bermain dengan baik.

Dengan kemenangan semalam, JDT berjaya mengekalkan rekod 11 perlawanan tanpa sebarang kekalahan dalam saingan Liga Super. Kini pasukan bimbingan Raul Longhi berada 11 mata di atas pasukan Pahang. Satu jurang mata yang sangat besar.

Bagi pasukan Pahang pula, kegagalan untuk mengekalkan rentak telah menyebabkan mereka semakin jauh ketinggalan dengan pasukan Johor Darul Ta’zim. Jika Perak berjaya meraih kemenangan malam ini dimana mereka akan menentang pasukan Negeri Sembilan, maka Pahang akan kehilangan tempat kedua kepada pasukan Perak.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Johor Darul Ta’zim ke atas pasukan Pahang semalam? Adakah mereka semakin hampir untuk meraih mahkota Liga Super buat kali kelima dalam lima musim?

Dan mampukah pasukan lain mencabar kedudukan Johor Darul Ta’zim?

Baca Juga: Mampukah Dua Fernando Mencipta Impak?

Leave a Reply