Sumber Gambar: TheseFootballTimes

Berapa ramai pemain yang bermain dalam 2 perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut? Orang Itali melakukannya pada tahun 1934 dan 1938; Brazil pada tahun 1958 dan 1962 – dan pada tahun 1998 dan 2002; Belanda kehilangan final 1974 dan 1978; Maradona mengetuai Argentina pada tahun 1986 dan 1990; dan Jerman Barat menjadi lebih baik dengan bertanding tiga final berturut-turut antara 1982, 1990, dan 1994. Beberapa pemain telah bermain di perlawanan akhir Piala Dunia berturut-turut tetapi hanya satu yang melakukannya ketika mewakili dua negara berbeza: Luis Monti, yang membintangi Argentina pada final Piala Dunia pertama pada 1930 dan kemudian memenanginya untuk Itali empat tahun kemudian – semua ketika berhadapan dengan pelbagai ancaman keselamatan pada dirinya.

Luis Monti dilahirkan di Buenos Aires pada bulan Mei 1901 dan memulakan kerjayanya dengan pasukan tempatan Atlético Huracán.  Dia memenangi kejuaraan pertamanya dalam satu-satunya musim di kelab itu sebelum berpindah sebentar ke Boca Juniors dalam perjalanan untuk menandatangani bersama  San Lorenzo, kelab di mana namanya akan melonjak naik. Walaupun lasak dan mantap ketika cuba merampas bola dari pihak lawan, Luis Monti juga secara teknikalnya bijak ketika memiliki bola. Dinamisme beliau merentasi padang mengilhami nama panggilannya, “Doble Ancho”  yang bermaksud “Double Wide” atau “Belah Tepi Berganda“, sebagai pengiktirafan terhadap ruang yang diliputi oleh Monti untuk pasukannya. Sebagai “Deep-lying Playmaker“, dia melindungi pertahanannya dan kemudian mengilhamkan serangan untuk rakan penyerangnya dalam pasukan.

Luis Monti memenangi tiga gelaran liga dengan San Lorenzo – pada tahun 1923, 1924 dan 1927 – dan mendapat panggilan untuk mewakili pasukan kebangsaan Argentina untuk Kejuaraan Amerika Selatan pada tahun 1927 yang dijurainya. Dia juga memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam , menjaringkan gol tunggal pasukannya di perlawanan akhir ketika mereka kalah kepada negara jiran Uruguay.

Ketika Uruguay menganjurkan kejohanan Piala Dunia yang pertama pada tahun 1930, Luis Monti sudah menjadi salah satu pemain pertahanan terbaik di Amerika Selatan. Argentina memulakan kejohanan mereka dengan kemenangan 1-0 menentang Perancis, dengan Monti menjaringkan gol tunggal permainan yang juga merupakan gol Argentina pertama di final Piala Dunia. Dua lagi kemenangan dalam kumpulan mereka iaitu membelasah Mexico 6-3 dan kemenangan 3-1 ke atas Chile, telah membawa Argentina ke peringkat separuh akhir. Monti menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan separuh akhir dengan kemenangan 6-1 ke atas Amerika Syarikat untuk menempah tiket ke perlawanan akhir menentang Uruguay, yang telah mengalahkan Yugoslavia 6-1 pada separuh akhir yang lain.

Sebelum final di Montevideo, ada khabar angin yang mengatakan bahawa Monti telah mengalami kecederaan. Dalam perlawanan akhir itu Luis Monti gagal mempamerkan permainan yang baik. Argentina telah tewas 4-2 setelah mendahului 2-1 pada separuh masa pertama di Estadio Centenario. Beberapa tahun kemudian, cucunya Lorena Monti mengatakan bahawa persembahan datuknya dipengaruhi oleh benda yang lain selain kecederaan.  Lorena menyatakan bahawa pada separuh masa, apabila Argentina sedang mendahului 2-1, ada yang mengugut datuknya jika Argentina tidak kalah, mereka akan membunuh isteri dan anaknya (ibu saudara Lorena Monti). Monti juga memberitahu cucunya bahawa pemain Argentina yang lain telah menerima ancaman juga, tetapi tidak ada yang spesifik seperti yang diugut kepadanya.

Akhirnya, Uruguay berjaya menjulang trofi Jules Rimet, keluarga Monti selamat dan dia kembali ke San Lorenzo untuk meneruskan kerjayanya. Tetapi lawatan dari dua orang lelaki Itali selepas itu akan mengubah hidup dan warisannya selama-lamanya. Cerita itu mengatakan bahawa pengunjung Monti memberitahu dia akan menerima tawaran dari sebuah kelab Itali dan, jika dia diterima, upah bulanannya akan meningkat kepada $ 5,000 dan dia akan diberi rumah dan kereta. Ternyata orang yang membuat perjanjian itu tidak lain tidak bukan adalah Benito Mussolini.

Piala Dunia yang seterusnya akan diadakan di Itali dan diktator terkenal ini mahu meningkatkan negaranya ke barisan hadapan kuasa dunia. Nenek moyang Luis Monti berasal dari Emilia-Romagna di utara Itali dan dia dipilih sebagai pelengkap untuk pasukan kebangsaan Itali. Apabila tawaran diterimanya, ia bukan dari Lazio, pasukan yang disokong Mussolini, tetapi Juventus. Tergoda oleh tarikan mata wang lira, Luis Monti berpindah ke Turin dan menjadi warganegara Itali. Dia telah bermain 16 kali untuk Argentina, menjaringkan lima gol, tetapi penampilan masa depannya di peringkat antarabangsa adalah bersama pasukan Azzurri.

Luis Monti menyertai Juventus pada tahun 1931 dan membantu kelab tersebut memenangi empat Scudetti berturut-turut. Semasa kariernya selama sembilan tahun di Turin, dia bermain lebih daripada 200 perlawanan, menjaringkan 20 gol dari posisi tengah pertahanan dan bahkan beliau telah diangkat menjadi kapten pasukan Juventus. Tetapi Luis Monti tidak hanya dibawa ke Itali untuk memenangi trofi di Turin. Dia berada di sana untuk membantu Itali memenangi Piala Dunia di tanah air sendiri pada tahun 1934.

Ketika Itali memulakan kejohanan Piala Dunia pada 27 Mei 1934 dengan kemenangan 7-1 menentang Amerika Syarikat di Stadio Nazionale PNF yang dinamakan sempena nama Parti Nazionale Fascista Mussolini – Monti bermain sekali dengan pasukan itu. Pada hari yang sama Argentina, bekas pasukannya, tersingkir dari kejohanan oleh Sweden di Bologna.

Kemenangan Itali ke atas AS telah mengaturkan perlawanan suku akhir menentang Sepanyol untuk mereka, yang berakhir 1-1 dan perlu diadakan semula pada hari berikutnya. Perlawanan pertama antara dua pasukan ini berlansung dalam keadaan tegang dan kekasaran yang melampau, dengan pengadil perlawanan tampak berat sebelah ke arah pasukan tuan rumah Itali. Ketika Sepanyol keluar untuk perlawanan kedua, mereka kehilangan tujuh pemain utama mereka – termasuk penjaga gawang terkenal Ricardo Zamora. Ketegangan dan kekasaran tidak surut dalam tempoh 24 jam sebelum ini dan tiga pemain Sepanyol terpaksa meninggalkan padang akibat kecederaan. Itali telah memenangi pertarungan sengit ini dengan gol dari penyerang lagenda Giuseppe Meazza.

Dengan benjolan dan lebam di badan pemain, Itali telah menempah tempat di separuh akhir menentang pasukan Austria yang hebat di bawah bimbingan Hugo Meisl. Diberi jolokan Das Wunderteam, mereka memainkan permainan hantaran yang kemas yang akan mempengaruhi perkembangan “Total Football“. Sekiranya Itali mahu mengatasi jiranmmereka yang berbakat, mereka perlu mematahkan corak permainan Matthias Sindelar, penyerang utama, kapten dan pemimpin pasukan Austria yang terkemuka. Tugas itu telah dipertanggungjawabkan kepada Luis Monti.

Corak permainan Austria terganggu oleh hujan lebat yang melanda San Siro ketika itu, tetapi cara Monti mengekang ancaman Sindelar membantu Itali menumbangkan Austria. Austria mempunyai banyak pemain-pemian hebat tetapi, dengan Sindelar berjaya ditambat, serangan Austria kurang menyengat dan Itali memenangi perlawanan dengan gol tunggal yang penuh kontroversi. Pada minit ke-19, Meazza bertembung dengan penjaga gawang Austria dan bola terlepas dari genggaman penjaga gol itu. Bola berguling ke arah tiang gol dan Enrique Guaita – pemain lain yang dilahirkan di Argentina – menyumbat masuk gol kemenangan Itali.

Pengadil dari Sweden Ivan Eklind dikritik hebat kerana memihak kepada pasukan Itali dalam perlawanan itu. Tidak mengejutkan, ia tidak sedikit pun menjejaskan reputasi dia sebagai pengadil. Dia juga telah dipilih untuk mengadili perlawanan akhir, di mana Itali akan menghadapi Czechoslovakia di PNF Stadio Nazionale di Rom.

Sehari sebelum final, satu telegram dilaporkan tiba di hotel pasukan Itali. Telegram itu dialamatkan kepada kedua-dua pengurus Vittorio Pozzo dan para pemain. Telegram itu terkandung mesej “Semoga berjaya esok,”. “Menang. Sekiranya tidak, nahas!” Telegram ditandatangani oleh Mussolini sendiri. Kini perlawanan akhir itu sudah menjadi perlawanan terpenting dalam kehidupan para pemain.

Masalahnya pasukan Czech tidak membaca skrip yang sudah dirancangkan oleh Mussolini. Pasukan Czech merupakan pasukan yang lemah berbanding pasukan Jerman Hitler pada perlawanan separuh akhir kedua. Pengadil Itali telah ditugaskan pada perlawanan itu untuk memastikan mereka berjaya ke peringkat akhir. Tetapi pada perlawanan akhir menentang Itali, pasukan Czech bermula dengan baik jaringan masih 0-0 pada akhir separuh masa pertama.

Pada waktu rehat separuh masa, satu lagi mesej kurang enak dari Mussolini telah dihantar ke Pozzo untuk dibacakan kepada pasukannya. Ironinya untuk Monti ancaman di terima pada final Piala Dunia kali ini adalah untuk menang bukan untuk kalah. Sudah dua perlawanan Piala Dunia dimana dia telah diancam. Pada tahun 1930, di Uruguay, mereka mahu menyakiti dia jika dia menang. Di Itali, empat tahun kemudian, mereka mahu menyakiti dia jika dia kalah.

Ancaman dari diktator itu tidak sedikit pun mengubah perlawanan pada babak kedua.  Malah, malang buat Itali apabila Antonin Puc menjaringkan untuk memberikan Czechoslovakia  mendahului 1-0 dengan hanya tinggal 19 minit untuk bermain. Pemain Czech sepatutnya mengawal permainan dan melebarkan jaringan lagi tetapi Jirií Sobotka gagal menjaringkan gol ketika gawang gol Itali telah terbuka dan Frantisek Svoboda menendang terus ke palang gol. Kegagalan mereka ini akan menghantui pasukan Czech di akhir perlawanan.

Pada saat tampak akan-akan kekalahan itu tidak dapat dielakkan oleh Itali, Raimundo Orsi melepaskan satu rembatan yang meledak gawang gol pasukan Czech pada minit ke-81. Kedudukan kini 1-1 dan orang ramai dan Mussolini bangun bersorak. Jaringan Orsi, bekas pemain antarabangsa Argentina yang bermain bersama Monti pada Sukan Olimpik 1928, telah membawa perlawanan akhir ke masa tambahan. Momentum perlawanan kini bersama pasukan rumah Itali. Angelo Schiavio menjadi wira Itali ketika ia menendang bola melewati Frantisek Planicka dari sudut sempit untuk menjaringkan gol kemenangan.

Pada akhir perlawanan, Azzurri tidak hanya diberi  Piala Jules Rimet, tetapi satu lagi Piala yang sangat besar yang ditempah Mussolini kerana dia menganggap Piala FIFA terlalu kecil untuk mencerminkan kemuliaan para pemenang dari Itali itu. Mussolini l menjadi lebih lembut dan pemurah selepas kemenangan itu. Mussolini membenarkan setiap pemain untuk meminta apa saja yang diingini. Pada saat itu mereka semua adalah manusia paling istimewa di Itali.

Luis Monti telah melakarkan namanya ke dalam buku rekod untuk pencapaiannya yang unik. Bukan sahaja dia memenangi Piala Dunia untuk negara angkatnya tetapi dia adalah satu-satunya pemain bola sepak yang telah bermain di peringkat akhir Piala Dunia untuk dua negara yang berbeza. Sukar untuk melihat pencapaian itu diulangi lagi ketika ini.

ANDA JUGA MUNGKIN BERMINAT: Aksi Terakhir Lagenda Bola!

 

Leave a Reply