Sumber Gambar: Berita Harian

Mahkota Liga Super musim ini semakin hampir kekal di Selatan tanah air apabila pasukan yang berada di tangga kedua hingga keenam gagal untuk mengekalkan konsistensi mereka dalam saingan Liga. Jika tidak konsisten, macam mana anda nak mencabar kejuaraan ?

Pada awal musim ini, pasukan Pahang, Perak dan Terengganu FC berjaya memulakan musim 2018 dengan baik. Ketiga-tiga pasukan ini memberikan saingan kepada Johor Darul Ta’zim yang berada di puncak Liga.

Akan tetapi, Terengganu FC kemudiannya gagal untuk mengekalkan rentak cemerlang mereka apabila mula keciciran mata. Kekalahan kepada Pahang dan juga Perak pada minggu kelapan dan kesembilan membuatkan mereka jatuh ke tangga kelima dalam carta Liga.

Bagi pasukan Perak pula, kegagalan untuk mengutip mata penuh ketika minggu kesepuluh dan kesebelas telah menyebabkan jarak mata mereka dengan pasukan JDT semakin besar.

Walaupun berjaya mencatat kemenangan ke atas PKNP pada minggu ke-12, namun kekalahan kepada JDT dan seri dengan pasukan Negeri Sembilan membuatkan jarak mata mereka dengan JDT semakin jauh. Mujur Perak berjaya mengutip kemenangan pada Sabtu lalu dengan menewaskan Negeri Sembilan.

Satu lagi pasukan yang gagal untuk mengekalkan rentak cemerlang mereka ialah pasukan Pahang.Kekalahan berturut-turut pada minggu ke-10 dan ke-11 menyebabkan mereka semakin jauh dengan pasukan pendahulu Liga.

Kekalahan kepada JDT pada Jumaat lalu memburukkan lagi keadaan. Mereka kini berada 11 mata dibelakang JDT. Satu jurang mata yang cukup besar.

Kegagalan tiga pasukan ini mengekalkan rentak konsisten telah menyebabkan JDT semakin selesa berada di puncak dan berada di landasan terbaik untuk merangkul gelaran kelima Liga Super.

Untuk pasukan Perak dan Pahang mempunyai peluang mencabar JDT bagi mahkota Liga musim ini, mereka perlu mengharapkan JDT tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas ini bagi membolehkan peluang kembali terbuka bagi kedua-dua pasukan.

Akan tetapi, dengan prestasi semasa pasukan bimbingan Raul Longhi, peluang mereka untuk tewas tiga kali berturut-turut dilihat sangat tipis. Malam ini, mereka akan menentang Pahang di Stadium Darul Makmur.

Jika mengutip tiga mata penuh, maka Johor Darul Ta’zim akan berada 14 mata di hadapan pasukan Pahang dan 11 mata di hadapan pasukan Perak.

Baca Juga: Otai Masih Berbisa ?

Leave a Reply