Sumber Gambar: FourFourTwo

Pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, Kelantan telah membawa masuk empat pemain import baru bagi memperkukuhkan pasukan. Dua daripadanya iaitu Lazarus Kaimbi dan Bakhtiyar Duyshobekov sudah membuat penampilan bersama pasukan. Yang menjadi pertanyaan, mana kelibat dua lagi pemain import ?

Dua pemain import yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan Singapura, Madhu Mohana dan penyerang dari Brazil, Cristiano Santos. Kedua-dua pemain ini dikhabarkan telah dibawa masuk namun sampai sekarang kelibat kedua-dua pemain ini masih belum kelihatan.

Dengan situasi semasa pasukan Kelantan yang sedang menduduki tangga tercorot dalam carta Liga Super dan perlukan kemenangan untuk segera keluar dari zon penyingkiran, Kelantan sememangnya perlukan Madhu dan juga Cristiano untuk segera tampil bersama pasukan.

Peminat juga tertanya-tanya sama ada benar Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah berjaya membawa masuk Madhu dan Cristiano ataupun sekadar khabar angin belaka. Jika benar mereka sudah dibawa masuk, mengapa dua pemain ini belum tampil bersama pasukan ?

Adakah KAFA gagal untuk menyelesaikan beberapa dokumen seperti dokumen pendaftaran kedua-dua pemain sehinggakan Madhu dan Cristiano tidak dapat diturunkan ?

Walau apa pun, KAFA perlu menjelaskan perkara ini kepada para peminat agar tidak berlaku kekeliruan diantara mereka. Ini kerana peminat meletakkan harapan yang tinggi untuk menyaksikan kedua-dua pemain ini diturunkan bagi membantu pasukan yang sedang tenat ketika ini.

Kelantan akan menghadapi PKNS FC pada raya kelima atau 19 Jun nanti bagi meneruskan misi mereka untuk kekal dalam saingan Liga Super musim hadapan. Walaupun dilihat sukar, akan tetapi jika pemain Kelantan tidak berputus asa dan memberi sepenuh perhatian, tidak ada yang mustahil bagi mereka.

Apa pendapat anda mengenai dua lagi pemain import yang belum kelihatan kelibat mereka bersama pasukan Kelantan setakat ini ? Adakah kita akan melihat kelibat mereka bersama pasukan Kelantan pada perlawanan Liga yang seterusnya ?

Atau kelibat dua pemain import ini hanya khabar angin belaka yang bertujuan untuk mempermainkan perasaan para peminat ?

Baca Juga: Kelantan Tidak Perlukan Fajr Ibrahim

Leave a Reply