Sumber Gambar: MFL

Otai Liga Malaysia, Zaquan Adha, Safee Sali dan Indra Putra menunjukkan mereka masih lagi berbisa apabila masing-masing berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir Liga Super. Meskipun sudah memasuki usia emas dalam karier bola sepak mereka, ketiga-tiga pemain ini masih lagi mampu untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan.

Kita mulakan dengan ketua pasukan Kuala Lumpur, Indra Putra terlebih dahulu. Indra berjaya menjaringkan dua gol bagi membantu The City Boys melakar kebangkitan ketika mereka bertemu pasukan Melaka United pada Sabtu.

Indra menjaringkan gol penyamaan sebelum menjaringkan gol keempat Kuala Lumpur pada minit-minit terakhir perlawanan. Penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha juga berjaya menyumbang jaringan apabila beliau berjaya menjaringkan gol pada minit ke-56.

Gol tersebut nyata menjadi pembakar semangat buat barisan pemain Kuala Lumpur dimana mereka kemudiannya berjaya menambah dua lagi gol menerusi Guilherme De Paula dan Indra Putra Mahayuddin sekaligus memenangi perlawanan.

Bekas penyerang pasukan kebangsaan, Safee Sali juga tidak ketinggalan apabila beliau berjaya menjaringkan gol ketika PKNS FC tewas kepada Selangor di Cheras pada Rabu. Meskipun tidak berjaya menjaringkan gol ketika PKNS seri semalam, namun sumbangan Safee dalam perlawanan tersebut boleh dikatakan baik.

Satu perkembangan yang baik apabila pemain senior dalam Liga Malaysia masih lagi mampu untuk menjaringkan gol dan menyumbang untuk pasukan. Kejayaan mereka menjaringkan gol menunjukkan bahawa usia bukan penghalang untuk anda menampilkan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan.

Selain itu, prestasi pemain otai ini boleh menjadi contoh kepada pemain muda untuk meningkatkan lagi corak dan juga mutu permainan mereka.

Kuala Lumpur dan PKNS FC sudah pasti mengharapkan pemain otai mereka untuk mengekalkan rentak cemerlang untuk menghadapi perlawanan Liga yang seterusnya. Kuala Lumpur akan menghadapi Kedah di Stadium Darul Aman manakala PKNS FC akan menghadapi pasukan Kelantan.

Apa pendapat anda mengenai prestasi semasa pemain otai Liga Malaysia ketika ini ? Mampukah mereka mengekalkan prestasi semasa pada perlawanan akan datang ?

Baca Juga: Safee Sali Berang PKNS Bocor Lagi

Leave a Reply