Sumber Gambar: Pahang FA

Pasukan Pahang akan menerima kunjungan Johor Darul Ta’zim di Stadium Darul Makmur malam ini dalam misi untuk mengutip tiga mata penuh setelah kecuncang di Larkin pada Jumaat. Perlawanan malam ini juga akan menentukan sama ada Pahang masih lagi berpeluang untuk mencabar kejuaraan ataupun tidak.

Pada perlawanan di Larkin, Pahang gagal untuk menyekat JDT daripada melebarkan jurang mereka bersama pasukan di bawah apabila jaringan tunggal Harris Harun memastikan Southern Tigers berada 11 mata di hadapan Pahang.

Untuk perlawanan malam ini, Pahang akan turun tanpa gandingan pemain tengah mereka iaitu Safuwan Baharuddin dan Nor Azam Azih yang digantung perlawanan. Safuwan dilayangkan kad merah ketika perlawanan pertama manakala Azam pula mengutip 5 kad kuning.

Untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Safuwan dan Azam, Dollah Salleh berkemungkinan besar akan menurunkan Salomon Raj bagi digandingkan dengan Wan Zaharulnizam di bahagian tengah. Satu gandingan yang jarang diturunkan oleh Dollah namun beliau tidak mempunyai banyak pilihan bagi posisi tersebut.

Akan tetapi, Pahang menerima sedikit berita gembira apabila Austin Amutu kembali cergas untuk diturunkan malam ini. Austin tidak diturunkan pada perlawanan Jumaat lalu akibat mengalami kecederaan.

Bagi pasukan Johor Darul Ta’zim pula, kemenangan hari ini akan menjarakkan lagi kutipan mata mereka dengan pasukan Pahang kepada 14 mata. Satu jurang mata yang cukup selesa dan mencerahkan lagi peluang mereka untuk mempertahankan kejuaraan.

Bagi memastikan tiga mata penuh dibawa pulang ke bumi Johor, kami berpendapat Raul Longhi akan membuat sedikit perubahan pemain dalam kesebelasan utama beliau. Dua Fernando, Fernando Marquez dan Fernando Elizari dijangka akan mengemudi barisan serangan.

Manakala di bahagian tengah, kami menjangkakan Afiq Fazail akan kembali untuk memperkuatkan kesebelasna utama pasukan.

Walau apa pun, penting untuk Pahang mengutip tiga mata malam ini bagi mencerahkan semula peluang mereka untuk mencabar kejuaraan.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara Pahang yang akan menentang Johor Darul Ta’zim malam ini ? Mampukah Pahang meraih kemenangan dalam perlawanan yang akan menentukan nasib mereka bagi persaingan mahkota Liga Super ?

Atau JDT sekali lagi akan keluar sebagai pemenang ?

Baca Juga: JDT Semakin Selesa Di Puncak

Leave a Reply