Sumber Gambar: FA Selangor

Apabila pasukan Selangor sedang berada dalam prestasi yang tidak menentu, nama Alfonso De La Cruz menjadi sasaran kritikan daripada peminat. Kini, Alfonso menjadi kesayangan peminat berkat persembahan cemerlang beliau dalam tiga perlawanan terakhir Liga.

Alfonso menjadi pemain import kelima yang dibawa masuk ketika Selangor di bawah rejim P.Maniam pada awal musim ini. Pada mulanya, tujuan membawa masuk Alfonso ialah sebagai gandingan kepada Evan Dimas di bahagian tengah pasukan.

Pada dua perlawanan pertama, Alfonso beraksi dengan baik. Akan tetapi, kekalahan kepada Terengganu FC menjadi titik permulaan Alfonso dipinggirkan. Perkara yang sama juga berlaku selepas P.Maniam direhatkan dan digantikan dengan Nazliazmi Nasir.

Nazliazmi kemudiannya memberikan peluang kepada Alfonso untuk tampil dalam kesebelasan utama. Persembahan yang kurang meyakinkan pada mulanya telah membuatkan beliau menjadi mangsa kepada kritikan peminat disamping seorang lagi pemain import, Ilham Udin Armayn.

Bahkan peminat Selangor mahukan pengurusan pasukan untuk menggantikan Alfonso dengan pemain import lain bagi digandingkan dengan Evan Dimas. Begitu juga halnya dengan Ilham Udin yang menurut penyokong gagal untuk menampilkan persembahan terbaik.

Namun, meskipun mendapat tekanan daripada peminat, pengurusan pasukan mengambil keputusan untuk mengekalkan khidmat Alfonso kerana jika mahu menamatkan khidmat beliau, FAS perlu membayar sejumlah pampasan. Dan pampasan tersebut tidak sedikit menurut FAS.

Keputusan FAS untuk mengekalkan Alfonso dilihat berbaloi apabila pemain berusia 31 tahun ini menampilkan persembahan yang mantap ketika Selangor menang ke atas Kelantan dan PKNS FC di Cheras dan seri dengan PKNS di Stadium Shah Alam.

Alfonso berjaya membentuk satu gandingan yang mantap bersama Willian Pacheco di bahagian pertahanan dan menjadi pemain kesayangan peminat di atas kecemerlangan beliau.

Alfonso mempunyai peluang untuk membuktikan bahawa beliau layak untuk dikekalkan musim hadapan dengan mengekalkan prestasi semasa. Tidak mustahil jika beliau berbuat sedemikian, pengurusan pasukan akan mengekalkan beliau.

Apa pendapat anda mengenai persembahan Alfonso De La Cruz dalam tiga perlawanan terakhir ? Layakkah beliau dikekalkan bagi saingan musim hadapan ?

Baca Juga: Apalah Nasib Selangor Tanpa Rufino Segovia

Leave a Reply