Sumber Gambar: Goal.com

Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh dikhabarkan telah mendapat kerakyatan Malaysia. Beliau mengesahkan perkara tersebut apabila ditanya oleh seroang peminat di laman media sosial Instagram. Jika benar Sumareh telah mendapat kerakyatan Malaysia, ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe perlu segera memanggil beliau untuk sertai skuad kebangsaan.

Setelah lima musim bermain dalam saingan Liga Malaysia dengan mewakili beberapa pasukan antaranya PDRM FA, Perlis dan Pahang, kualiti yang dimiliki oleh Sumareh sememangnya tidak dapat dinafikan. Aksi lincah beliau di sebelah sayap seringkali memberi kesukaran kepada pertahanan pasukan lawan untuk mengawal beliau.

Jika Sumareh diberi peluang untuk beraksi bersama pasukan negara, ianya akan menjadi satu kelebihan yang besar terhadap skuad kebangsaan itu sendiri. Kita akan mempunyai barisan serangan yang lebih berbahaya dan mampu untuk memberi ancaman kepada pasukan lawan.

Anda boleh bayangkan trio serangan pasukan kebangsaan diisi oleh Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh. Kepantasan yang dimiliki oleh ketiga-tiga pemain ini sudah cukup untuk memberikan gerun kepada pasukan lawan.

Akan tetapi, peluang kita untuk melihat Sumareh menyarung jersi Malaysia terpulang kepada budi bicara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sama ada mereka membenarkan Sumareh untuk mewakili Malaysia ataupun tidak.

Ini kerana sebelum ini, FAM hanya memberi keutamaan kepada pemain kacukan seperti Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong dan Darren Lok untuk mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa. Manakala dalam situasi Mohamadou Sumareh ini, beliau merupakan pemain naturalisasi.

Walau apa pun, FAM perlu memperhalusi perkara ini kerana mempunyai Sumareh dalam pasukan kebangsaan adalah satu kelebihan yang terlalu berharga untuk dilepaskan. Kualiti yang dimiliki oleh beliau sudah cukup untuk membuktikan segala-galanya.

Apa pendapat anda mengenai Mohamadou Sumareh yang dikhabarkan sudah mendapat kerakyatan Malaysia? Adakah beliau perlu diberi peluang untuk sertai skuad kebangsaan dan sekaligus menaikkan mutu pasukan negara di peringkat antarabangsa? Mari kongsikan pendapat anda bersama kami.

Baca Juga: Safee Sali Masih Lagi Relevan Untuk Pasukan Kebangsaan?

Leave a Reply