Sumber Gambar: 24sata

Satu Malaysia kecoh apabila bekas penyerang Negeri Sembilan, Andrew Nabbout diturunkan dalam kesebelasan utama ketika Australia menentang Perancis dalam perlawanan kumpulan C semalam. Di sini, kami nak menyuarakan kepada semua pemain pasukan kebangsaan terutamanya agar menjadikan kisah Nabbout sebagai inspirasi untuk maju ke hadapan.

Walaupun tidak berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan semalam, namun Nabbout berjaya beraksi di pentas yang menjadi idaman seluruh pemain bola sepak di dunia iaitu Piala Dunia. Siapa boleh lupa tiga tahun lalu Nabbout pernah dibuang oleh Negeri Sembilan yang ketika itu bermain dalam saingan Liga Perdana.

Meskipun beraksi dengan baik, akan tetapi itu tidak cukup untuk menyelamatkan Nabbout daripada digugurkan. Setelah meninggalkan Negeri Sembilan, Nabbout membawa diri dengan kembali ke Australia dengan mewakili Newcastle Jets.

Persembahan cemerlang Nabbout bersama Newcastle akhirnya menarik perhatian kelab Jepun, Urawa Reds Diamond dan juga pengurus pasukan kebangsaan Australia, Bert Van Marwijk. Bekas pengurus Belanda ini kemudiannya memutuskan untuk membawa Nabbout bersama seorang lagi pemain yang pernah beraksi di Liga Malaysia, Dimitri Petratos.

Pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia khususnya pemain muda boleh menjadikan pencapaian Nabbout sebagai inspirasi dan juga pembakar semangat untuk mereka meningkatkan lagi mutu dan juga kualiti permainan mereka seterusnya mendapat perhatian pasukan luar negara untuk mengambil khidmat mereka.

Tidak bermakna anda gagal sekarang, anda akan gagal selamanya. Selagi anda bekerja keras dan tidak mengenal erti putus asa, kejayaan pasti menanti anda di hadapan.

Kami juga berharap agar tiada lagi pemain kita yang pulang ke Malaysia kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana di luar negara dan juga bayaran yang kecil. Kedua-dua perkara ini akan bertambah baik jika anda mahu bekerja keras dan sentiasa cuba untuk meningkatkan mutu permainan.

Apa pendapat anda mengenai pencapaian Andrew Nabbout yang kini beraksi di temasya Piala Dunia 2018 ? Adakah wajar kisah beliau dijadikan sebagai inspirasi oleh pemain muda Malaysia khususnya ?

Baca Juga: Ex Import Liga M Ke Piala Dunia ?

Leave a Reply