Sumber Gambar: MUSA

Pasukan Melaka United serba tidak lengkap apabila mereka akan bertemu pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim di Stadium Hang Jebat malam ini. Melaka akan turun tanpa kelibat ketua jurulatih, E.Elavarasan dan Syahrul Azwari .

E.Elavarasan tidak dapat bersama pasukan untuk perlawanan malam ini kerana beliau kini sedang menjalani kursus kejurulatihan Pro A di Indonesia dan hanya akan kembali Sabtu ini. Tempat beliau akan digantikan oleh Ridzuan Abu Shah yang akan mengendalikan pasukan malam ini.

Selain tanpa Elavarasan, Melaka akan turun tanpa tiga pemain yang dipinjam daripada JDT iaitu S.Chanturu, R.Gopinathhan dan Syahrul Azwari. Ketiga-tiga pemain ini terikat dengan Gentleman Agreement antara pasukan Melaka dan Johor Darul Ta’zim.

Kepincangan ini sudah pasti bakal memberikan kesan kepada Melaka pada perlawanan malam ini kerana kekuatan serangan mereka berpaksikan ketiga-tiga pemain ini. Dengan itu, Melaka akan meletakkan harapan sepenuhnya di bahu Ifedayo Olesegun dan Yahor Zubovich bagi merobek gawang JDT.

Bagi Johor Darul Ta’zim pula, mereka mahu mengambil kesempatan dengan ketempangan Melaka malam ini dengan meraih tiga mata penuh. Untuk berdepan pasukan jiran mereka ini, Raul Longhi mengesahkan bahawa beliau akan membuat beberapa pertukaran dalam kesebelasan utama beliau.

Longhi akan memasukkan Fadhli Shas bagi menggantikan Aidil Zafuan yang digantung satu perlawanan. Pemain kacukan, Natxo Insa juga berpeluang untuk tampil dalam kesebelasan utama namun masih lagi tiada berita mengenai Safiq Rahim sama ada beliau akan diturunkan ataupun tidak.

Apa yang pasti, kedua-dua pasukan mencari tiga mata penuh malam ini bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing dalam carta Liga. Melaka mahu mengambil alih kedudukan PKNS FC yang berada di tangga keenam manakala JDT pula mahu melebarkan jarak mata mereka dengan pasukan Perak dan Pahang.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan antara pasukan Melaka United yang akan bertemu Johor Darul Ta’zim di Stadium Hang Jebat malam ini ? Mampukah Melaka mengutip kemenangan dengan ketiadaan beberapa tonggak penting mereka ?

Baca Juga: Kekalkan Harris Harun!

Leave a Reply