Sumber Gambar: Pahang FA

Pasukan Pahang berjaya bangkit dengan menewaskan PKNP FC 2-1 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA semalam sekaligus melangkah ke perlawanan akhir dengan agregat 3-2. Mereka akan menentang pasukan Selangor dalam perlawanan akhir dan pertembungan antara kedua-dua pasukan ini adalah pertembungan pertama dalam tempoh 21 tahun dalam perlawanan peringkat akhir.

Dalam perlawanan semalam, Pahang mula mengasak kubu pertahanan PKNP FC sejak dari minit-minit awal permainan. Asakan bertali arus mereka akhirnya membuahkan hasil apanila Austin Amutu berjaya membuka tirai jaringan dan memberikan kelebihan buat pasukan Pahang.

Penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha kemudiannya mengesahkan tempat Pahang dalam perlawanan akhir dengan gol di minit-minit akhir perlawanan. Walaupun PKNP cuba bangkit menerusi Franklin Anzite, namun peluang mereka untuk mara ke perlawanan akhir sudah tertutup rapat.

Setelah tewas kepada pasukan Kedah pada perlawanan akhir edisi tahun lalu, sudah pasti anak-anak buah Dollah Salleh ini tidak mahu mengulangi kesilapan sama dalam perlawanan menentang Selangor Sabtu ini. Tambahan pula, mereka sudah terkeluar dari perlumbaan untuk mengejar kejuaraan Liga Super. Jadi trofi Piala FA akan menjadi penawar duka bagi mereka.

Bagi pasukan Selangor pula, mereka juga mahukan trofi Piala FA edisi kali ini setelah kali terakhir memenanginya ialah pada tahun 2009 dimana mereka menewaskan pasukan Kelantan dalam perlawanan akhir.

Setelah prestasi pasukan tidak menentu dalam saingan Liga musim ini, Piala FA akan menjadi satu happy ending buat Selangor dan juga permulaan yang cemerlang bagi presiden baru Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) iaitu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang akan memulakan tugas pada esok.

Walau apa pun, kedua-dua pasukan mempunyai misi tersendiri pada Sabtu ini. Pahang mahu memenangi trofi ketiga manakala pasukan Selangor mahukan trofi keenam mereka. Kami berharap pertembungan pertama antara kedua-dua pasukan dalam tempoh 21 tahun di pentas akhir akan menjadi perlawanan terbaik dalam sejarah Piala FA.

Apa pendapat anda mengenai pertembungan antara pasukan Pahang menentang pasukan Selangor dalam perlawanan akhir Piala FA edisi kali ini ? Pasukan mana yang akan keluar sebagai pemenang ?

Baca Juga: Mentaliti Juara Inspirasi Pemain Selangor

Leave a Reply