Sumber Gambar: Mental Floss

Selepas pusingan pertama peringkat kumpulan tamat, kini tibalah saat-saat perlawanan kalah mati yang mendebarkan. Tapi, kalau diikutkan, perlawanan peringkat kumpulan juga perlawanan yang mendebarkan – kalau diambil kira perlawanan seperti Jerman melawan Sweden atau beberapa perlawanan bola sepak ketiga minggu ini. Apalagi perlawanan ketiga diadakan serentak bagi kumpulan yang sama.

Dan sejak Maghribi layak ke peringkat kalah mati tahun 1986, edisi kali ini menyaksikan tiada wakil Afrika untuk layak. Kali terakhir negara Afrika gagal layak pada tahun 1982 apabila Algeria dan Cameroon menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.

Tapi, tahukah anda, ada hubungkait kenapa perlawanan ketiga diadakan serentak, dan kenapa Algeria gagal layak ke pusingan seterusnya.

PIALA DUNIA 1982 DI SEPANYOL

Algeria dan Cameroon kali pertama layak pada tahun 1982, dan ini tahun pertama kuota untuk Afrika ditambah dari 1 kepada 2, memandangkan jumlah peserta ditambah dari 16 ke 24 negara. Algeria ditempatkan di kumpulan 2 yang sama dengan juara bertahan, Jerman Barat, Austria dan Chile.

Perlawanan pertama, Algeria mengejutkan Jerman Barat dengan kemenangan 2-1 (negara Afrika pertama mengalahkan Jerman/Jerman Barat di Piala Dunia). Kekalahan 0-2 dengan Austria diiringi dengan kemenangan 3-2 ke atas Chile meletakkan Algeria mengutip 4 mata (sistem 2 mata masih digunakan sehingga Piala Dunia 1990).

Sehari selepas perlawanan Algeria dan Chile tamat, Jerman Barat perlu menang ke atas Austria sambil Algeria berharap sama ada Jerman Barat menang besar, atau Algeria akan tersingkir sebab perbezaan gol.

Namun, selepas kedudukan 1-0 bagi Jerman Barat di separuh masa pertama perlawanan, keduadua jurulatih sedar pasukan mereka akan mara dengan keputusan 1-0. Oleh itu, kedua-dua pasukan membazirkan masa dengan hantaran ke laut.

Selepas perlawanan tamat di stadium El Molinon (stadium kelab Sporting Gijon), penyokong Algeria mengamuk dan membaling wang kertas ke arah pemain, penyokong Sepanyol bersorak nama Algeria sebagai tanda sokongan, dan penyokong kedua-dua negara Jerman Barat dan Austria pula mengecam perlawanan membosankan dan dirancang ini.

FA Algeria menghantar aduan kepada FIFA namun ditolak. Jurulatih Jerman Barat membela pasukannya dengan berkata skuad kurang cergas untuk bermain.

Oleh sebab itu, bermula Piala Eropah 1984 dan Piala Dunia 1986, semua perlawanan ketiga peringkat kumpulan diadakan serentak bagi mengelakkan pengaturan perlawanan (match fixing), dan perlawanan bola sepak di antara Jerman Barat dan Austria ini dikenali dengan nama Disgrace of Gijon (Gijon yang memalukan).

Baca Juga: Colombia Vs England, Usaha Untuk Melakar Sejarah Baru!

Leave a Reply