Sumber Gambar: FA Selangor

Kecergasan pemain pertahanan tinggi lampai pasukan Selangor, Willian Pacheco mencetuskan tanda tanya dikalangan peminat sama ada beliau boleh diturunkan dalam perlawanan akhir Piala FA menentang Pahang pada Sabtu ini.

Pacheco terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua ketika Selangor terikat seri dengan PKNS FC pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam Sabtu lalu. Pacheco dilihat dibentes oleh penyerang PKNS, Safee Sali dan bentesan tersebut menyebabkan Pacheco terpaksa dikeluarkan.

Andai kata Pacheco gagal untuk pulih menjelang perlawanan Sabtu ini, maka Nazliazmi Nasir bakal menggunakan Evan Dimas sebagai pemain import keempat pasukan dan akan menggunakan khidmat pemain pertahanan tempatan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Pacheco.

Setakat ini, Nazliazmi pernah menggunakan Ashmawi Yakin, Amirul Ashraf Arifin dan Razman Roslan sebagai pasangan kepada Pacheco dalam perlawanan Liga dan juga Piala FA.

Dengan ketiadaan Pacheco, maka Alfonso De La Cruz akan diletakkan sebagai pemain pertahanan utama dan Nazliazmi perlu memikirkan siapa gandingan yang sesuai buat pemain dari Sepanyol ini.

Jika beliau mahu pemain berpengalaman untuk bermain di samping Alfonso, maka Razman Roslan adalah pemain yang sesuai untuk diturunkan. Pengalaman beliau bersama Selangor dan Pahang sudah tidak boleh dinafikan lagi.

Akan tetapi, jika Nazliazmi mahukan pemain muda untuk membarisi barisan pertahanan, maka kami berpendapat Ashmawi Yakin adalah pemain yang sesuai. Ashmawi sebelum ini menampilkan persembahan yang baik namun jarang mendapat peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Walau apa pun, peminat Selangor masih mengharapkan Pacheco untuk pulih daripada kecederaan dan beraksi pada Sabtu ini. Barisan pertahanan Selangor dilihat lebih kukuh dengan adanya Willian Pacheco di posisi tersebut.

Penolong jurulatih Selangor, Rusdi Suparman juga menegaskan bahawa Pacheco kini sedang pulih dan berpeluang untuk diturunkan.

Apa pendapat anda mengenai tahap kecergasan Willian Pacheco menuju ke perlawanan akhir Piala FA menentang Pahang Sabtu ini ? Adakah kita akan melihat Pacheco diturunkan dalam kesebelasna utama ?

Baca Juga: 5 Tahun Untuk Kita Bangkit, Tengku Amir Shah

Leave a Reply