Sumber Gambar: FourFourTwo

Perlawanan menentang pasukan Fiji pada esok di Stadium KLFA, Cheras boleh dijadikan medan untuk memikat hati pengendali pasukan negara, Tan Cheng Hoe terutamanya bagi pemain yang baru dipanggil menyertai pasukan kebangsaan.

Tan Cheng Hoe memanggil beberapa muka baru bagi menggalas cabaran menentang pasukan Fiji. Antara muka baru yang dipanggil adalah pemain pertahanan Kedah, Syawal Nordin, penyerang Kelantan, Shafiq Shahrudin, pemain pertahanan Perak, Amirul Azhan dan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal.

Jika diturunkan, muka-muka baru ini haruslah menampilkan persembahan yang mantap bagi memastikan mereka terus dipanggil untuk menyarung jersi negara sekaligus berada dalam senarai utama Tan Cheng Hoe.

Selain pemain baru, pemain berpengalaman lain seperti Syahrul Azwari, Nasir Basharudin dan Wan Zack Haikal harus menunjukkan prestasi yang cemerlang sekiranya mereka diturunkan dalam kesebelasan utama.

Dengan ketiadaan beberapa pemain penting, ini adalah peluang yang tidak boleh disia-siakan oleh pemain sedia ada bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Mereka perlu menampilkan persembahan yang baik bagi memastikan tempat mereka dalam pasukan kebangsaan tidak tergugat.

Tan Cheng Hoe mahu menjadikan perlawanan menentang Fiji pada esok sebagai penanda aras tentang corak permainan dan juga taktikal yang bakal digunakan oleh beliau pada temasya Piala AFF Suzuki yang akan diadakan pada akhir tahun ini.

Kerana itu Tan Cheng Hoe mahukan semua pemain untuk memberikan sepenuh fokus dan juga komitmen mereka dalam perlawanan di Cheras nanti.

Walau apa pun, pasukan negara harus mengutip mata penuh bagi memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA sekaligus memulakan persediaan menuju ke Piala AFF Suzuki dengan langkah kanan. Kemenangan juga bakal membakar lagi api semangat para pemain untuk terus menampilkan persembahan cemerlang bersama pasukan negara.

Apa pendapat anda mengenai peluang pemain yang baru dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan dikekalkan pada perlawanan akan datang?

Mampukah mereka memikat hati ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sekaligus mengekalkan tempat mereka dalam pasukan negara?

Baca Juga: Khairul Fahmi Che Mat Atau Hafizul Hakim?

Leave a Reply