Sumber Gambar: FA Selangor

Semakin hambar. Itulah perkataan yang sesuai untuk digunakan bagi menggambarkan situasi terkini saingan Liga Malaysia. Bilangan penonton yang hadir ke stadium semakin berkurangan dan baru-baru ini jualan tiket perlawanan akhir Piala FA yang tidak mendapat sambutan membuatkan para peminat menganggap bola sepak Malaysia sudah hilang serinya.

Jika kita nak menyentuh isu semakin kurangnya penonton yang datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan, pasukan bertanding dan juga pengelola liga yang seharusnya bertanggungjawab mengenai masalah ini.

Isu seperti perubahan jadual perlawanan secara mendadak dan juga kekurangan promosi daripada pasukan mengenai perlawanan yang melibatkan mereka menjadi salah satu faktor mengapa peminat sudah tawar hati mahu menjejakkan kaki ke stadium.

Bagi isu jualan tiket perlawanan akhir Piala FA 2018 dimana pasukan Selangor akan menentang Pahang, temasya Piala Dunia yang sedang berlangsung ketika ini dan harga tiket yang mencecah RMM50 menjadi faktor mengapa tiket tidak laris dijual seperti sebelum ini.

Kalau dulu kita melihat penyokong beratur sehingga ke kawasan ke luar stadium sampaikan ada yang bergaduh kerana mahukan tiket, tapi kali ini tiket perlawanan akhir ini dipandang hina seperti barang yang sudah tidak diperlukan.

Penulis menyeru kepada peminat Selangor dan juga Pahang terutamanya supaya membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini bagi memberi sokongan padu kepada pasukan yang menjadi lambang kebanggaan anda.

Jika bukan anda yang nak sokong pasukan sendiri, siapa lagi yang nak memberikan sokongan kepada mereka ? Takkan anda nak harapkan peminat pasukan lain untuk menyokong pasukan anda beraksi di pentas perlawanan akhir. Tak masuk di akal!

Satu lagi, ini Liga kita. Bukan Liga negara Uganda atau Rwanda. Jadi kita yang harus menjalankan tugas memeriahkan suasana bola sepak Malaysia. Kalau bukan kita, siapa lagi ?

Apa yang penting, penulis berharap isu kedatangan peminat ke stadium yang dilihat semakin hambar dapat dipertingkatkan lagi pada perlawanan akan datang. Turun ke stadium dan sokonglah pasukan anda.

Baca Juga: Apa Kekurangan Pemain Bola Sepak Malaysia ?

Leave a Reply