Sumber Gambar: FAM

Skuad Kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya mengekalkan rentak kemenangan apabila mereka berjaya menewaskan pasukan Fiji dengan keputusan 1-0 sebentar tadi dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium KLFA, Cheras.

Jaringan tunggal penyerang Johor Darul Ta’zim, Syafiq Ahmad pada minit ke-20 sudah cukup untuk memberikan kemenangan pada perlawanan pertama dalam rangka persiapan untuk menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki akhir tahun ini.

Pasukan negara bermula garang apabila mengasak sejak dari minit pertama perlawanan. Larian pantas Safawi Rasid dan juga Syazwan Zainon berjaya memberikan ancaman kepada pertahanan pasukan Fiji.

Asakan bertali arus anak-anak buah Tan Cheng Hoe akhirnya membuahkan hasil apabila Syafiq dengan tenang menolak masuk hasil hantaran lintang Syazwan Zainon daei sebelah kiri pada minit ke-29.

Akan tetapi, Syafiq mengalami kecederaan sejurus selepas menjaringkan gol dan beliau digantikan oleh Shafiq Shahrudin. Shafiq hanya bertahan selamat 20 minit sebelum beliau digantikan oleh Wan Zack Haikal pada separuh masa kedua.

Tan Cheng Hoe kemudiannya mengambil pendekatan berbeza pada separuh masa kedua apabila meletakkan Wan Zack sebagai false 9 pasukan. Namun, percaturan tersebut tidak berjaya mendatangkan hasil apabila barisan serangan pasukan negara mensia-siakan peluang sekaligus gagal menjaringkan gol.

Kami melihat Tan Cheng Hoe mahu membuat eksperimen dalam perlawanan ini bagi menguji sejauh mana kemampuan pemain sedia ada dan juga mencari corak permainan mana yang sesuai untuk digunakan dengan skuad kebangsaan pada perlawanan seterusnya.

Walaupun berjaya mengekalkan rentak kemenangan, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh Cheng Hoe dan juga para pemain bagi memantapkan lagi permainan pasukan kebangsaan pada perlawanan akan datang.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan tipis pasukan kebangsaan ke atas pasukan Fiji dalam perlawanan persahabatan kelas “A” sebentar tadi? Adakah pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe ini sudah menunjukkan peningkatan?

Dan aspek manakah yang harus diperbaiki oleh para pemain bagi memantapkan lagi corak permainan pasukan pada perlawanan akan datang?

Baca Juga: Sebenarnya Jepun Tak Kemas, Tapi Malaysia Kemas

Leave a Reply