Sumber Gambar: FAM

Harimau Malaya berjaya mengutip kemenangan kedua sejak dibimbing oleh Tan Cheng Hoe apabila menundukkan pasukan Fiji dengan keputusan 1-0. Dalam perlawanan semalam, penulis tertarik dengan persembahan Nazmi Faiz Mansor yang diberi tanggungjawab untuk mengetuai bahagian tengah pasukan negara.

Kualiti hantaran yang dimiliki oleh Nazmi berjaya menyumbang kepada gol tunggal pasukan negara dimana beliau melorongkan hantaran kepada Syazwan Zainon sebelum pemain sayap Kedah ini membuat hantaran ke hadapan pintu gol yang disudahkan oleh Syafiq Ahmad.

Selain menunjukkan persembahan yang cemerlang, Nazmi dilihat semakin matang dan juga beliau sudah serasi dan selesa dengan corak permainan yang diterapkan oleh Tan Cheng Hoe.

Walaupun Tan Cheng Hoe mengubah sedikit taktikal dan juga corak permainan pasukan, namun Nazmi masih lagi mampu untuk mengekalkan rentak dan menjadi nadi utama pasukan negara dalam menggerakkan barisan serangan.

Penulis berpendapat jika Nazmi berjaya mengekalkan prestasi semasa, maka kita tak perlu lagi memanggil kuda tua untuk mengisi bahagian tengah. Beri peluang dan tanggungjawab sepenuhnya kepada bekas pemain Selangor ini untuk membuktikan bahawa beliau sudah bersedia untuk memainkan peranan bagi pasukan kebangsaan.

Selain Nazmi yang beraksi dengan baik di bahagian tengah pada perlawanan semalam, penulis memberikan pujian kepada gandingan Akram Mahinan dan Irfan Zakaria yang memainkan peranan melindungi barisan pertahanan dan juga melindungi Nazmi ketika beliau membantu barisan serangan.

Penulis percaya jika Akram dan Irfan diberikan lebih banyak peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama, kedua-dua pemain akan membentuk satu gandingan mantap dan wajar untuk menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Walau apa pun, kemenangan ke atas Fiji semalam berjaya meningkatkan lagi moral pemain dan juga motivasi pasukan. Kemenangan semalam juga cara terbaik untuk pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki pada hujung tahun ini.

Apa pendapat anda mengenai prestasi Nazmi Faiz Mansor pada perlawanan menentang Fiji semalam ? Mampukah beliau dan pasukan kebangsaan meneruskan rentak cemerlang ?

Baca Juga: Harimau Malaya Teruskan Rentak Kemenangan

Leave a Reply