Sumber Gambar: Adam Ghazali Sportflex Malaysia

Pasukan bawah 19 tahun negara berjaya meneruskan rentak kemenangan pada temasya Piala AFF Bawah 19 Tahun dengan menewaskan Brunei Darussalam 2-0 semalam. Dengan kemenangan ini, peluang pasukan negara untuk mara ke separuh akhir semakin cerah.

Pasukan muda negara bermula dengan baik apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-6 apabila Muhammad Syahmi mudah menewaskan penjaga gol lawan untuk memberikan Malaysia kelebihan pada minit-minit awal permainan.

Pasukan bimbingan Bojan Hodak ini tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila Muhammad Nizarruddin Jazi berjaya menjaringkan gol pada minit ke-13. Kedudukan 2-0 ini bertahan sehingga separuh masa pertama tamat.

Pada separuh masa kedua, pasukan negara dilihat mengendurkan sedikit asakan ke arah kubu pertahanan Brunei dan mereka hanya mempertahankan kelebihan yang dimiliki. Pengadil kemudiannya meniupkan wisel penamat bagi memberikan kemenangan kedua Malaysia dalam dua perlawanan.

Dalam perlawanan semalam, Bojan Hodak menurunkan kesebelasan kedua beliau apabila merehatkan beberapa pemain penting seperti Hadi Fayyadh, Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran dan memberikan peluang kepada Zafuan Azeman dan Muhammad Syahmi untuk memulakan perlawanan.

Dengan kemenangan semalam, pasukan muda negara kini menduduki tangga teratas kumpulan B dengan berkelebihan dua mata di hadapan pasukan Myanmar.

Anak-anak buah Bojan Hodak akan menghadapi pasukan Timor Leste pada perlawanan seterusnya iaitu pada 8 Julai sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dengan menentang pasukan Myanmar pada 10 Julai.

Jika kita melihat kepada prestasi semasa, tidak mustahil pasukan muda negara untuk mengekalkan rekod 100 % dalam peringkat kumpulan.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan bawah 19 tahun negara bimbingan Bojan Hodak ke atas pasukan Brunei Darussalam semalam? Mampukah mereka mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan seterusnya sekaligus melangkah ke separuh akhir kejohanan?

Baca Juga: Skuad Bawah 19 Tahun Negara Mula Langkah Kanan

Leave a Reply