Sumber Gambar: Pahang FA

Pemain sayap Pahang, Norshahrul Idlan Talaha atau yang lebih dikenali dengan panggilan Matyo menampilkan persembahan yang cemerlang ketika perlawanan akhir Piala FA 2018 diantara pasukan Pahang menentang Selangor pada Sabtu.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh memutuskan untuk menurunkan Matyo berbanding Issey Nakajima Farran di posisi sayap kiri setelah hanya empat pemain import yang dibenarkan bagi saingan Piala FA. Dan keputusan Dollah tersebut nyata berbaloi kerana Norshahrul berjaya menampilkan persembahan yang bertenaga.

Norshahrul menggunakan trademark beliau iaitu menggelecek pertahanan lawan dan membuat lorongan ke tengah bagi mencari penyerang utama. Gerakan beliau seringkali menyukarkan Amirul Ashraf Ariffin yang ditugaskan untuk mengawal beliau.

Meskipun tidak berjaya mencipta jaringan, namun peranan Norshahrul di bahagian sayap kiri patut diberi pujian kerana beliau masih lagi mampu untuk menampilkan persembahan terbaik walaupun jarang diturunkan dalam kesebelasan utama.

Jika Norshahrul berjaya mengekalkan prestasi semasa dan Dollah kerap memberi peluang untuk beliau tampil dalam kesebelasan utama, tidak mustahil Norshahrul mampu untuk menemui semula rentak sepertimana ketika tahun 2009 hingga 2012 dimana beliau merupakan pemain sayap terbaik Malaysia ketika itu.

Apabila Norshahrul sudah menemui rentak kegemilangan beliau, maka ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe boleh mempertimbangkan untuk memanggil Norshahrul bagi mewakili Malaysia pentas antarabangsa.

Kali terakhir kita melihat Norshahrul memakai seragam Malaysia ialah ketika kempen Piala AFF Suzuki 2016 dimana Malaysia tersungkur di peringkat kumpulan. Jadi, menarik untuk kita menyaksikan Norshahrul sekali lagi menyarung jersi Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Dengan adanya Matyo, maka Tan Cheng Hoe akan memiliki banyak pilihan untuk mengisi posisi sayap pasukan kebangsaan. Cheng Hoe ada gabungan pemain muda dan juga pemain senior bagi posisi tersebut.

Apa pendapat anda mengenai kecemerlangan Norshahrul Idlan Talaha ketika Pahang menewaskan Selangor dalam perlawanan akhir Piala FA 2018 pada Sabtu lalu ? Adakah beliau layak untuk dipanggil bagi menyertai pasukan kebangsaan ?

Baca Juga: Masih Ada Harapan Buat Pahang

Leave a Reply