Sumber Gambar:JEWEL SAMAD/AFP

Sesuatu telah berlaku dalam perjalanan ke separuh akhir. Belgium telah menjadi Perancis. Mereka berubah menjadi pilihan peminat, menjadi wajah-wajah popular Permainan Indah (Beautiful Game).

Hanya dengan satu perlawanan, mereka menjadikan ramai daripada kita buta warna. Kita melihat merah bukan Les Bleus. Kejayaan Red Devils dalam melenyapkan samba Brazil adalah perlawanan terhebat kejohanan setakat ini untuk pelbagai sebab. Brazil bukan sahaja dikalahkan oleh pasukan yang lebih baik pada suku akhir, tetapi juga oleh pasukan yang lebih bijak dan seksi.

Bijak dan seksi bukan hanya kualiti yang paling diinginkan di aplikasi Tinder, tetapi juga di kejohanan besar seperti Piala Dunia. Kualiti-kualiti itu adalah penarik perhatian yang paling sempurna untuk acara sukan yang menghentikan dunia ini.

Rusia 2018 telah pun menghidangkan kita dengan gula-gula manis “upset” pasukan-pasukan pilihan sebelum ini, tetapi ia hanyalah seperti makanan ringan yang dapat memberi kegembiraan yang sementara. Tetapi kemenangan Belgium ke atas Brazil seperti perayaan besar di dalam mulut yang merangsangkan setiap deria-deria rasa kita.

Masalahnya kini adalah tugas untuk mengalahkan Brazil patut dilaksanakan oleh Perancis di peringkat separuh akhir. Namun Belgium lebih cepat untuk menyambar tugas itu dan Brazil kini terpinga-pinga memikirkan apakah yang telah terjadi.

Permainan yang bijak dan seksi ini telah sinonim dengan pasukan Perancis buat tempoh yang lama sebelum ini. Kejohanan Euro 2016 telah memberikan sedikit gambaran akan potensi pasukan Perancis untuk bermain secara bijak dan seksi.

Namun Belgium telah berjaya membuktikan di kejohanan ini bahawa merekalah pasukan yang mewarisi corak “Permainan Indah” (Beautiful Game) sambil melupuskan sejarah pasukan “Kuda Hitam” (Dark Horse) mereka.

Dari satu kejohanan ke satu kejohanan yang lain selama bertahun-tahun sebelum ini, tag “Kuda Hitam” dan “Generasi Emas” selalu dibawa oleh pasukan Belgium. Setiap dekad akan ada satu pasukan seperti ini, samalah seperti “Generasi Emas” England yang telah bersara dan kini sibuk menonton Piala Dunia di televisyen masing-masing.

Sebelum kejohanan ramai yang beranggapan bahawa pasukan Belgium kali ini sekali lagi akan menghampakan peminat-peminat mereka seperti mana pasukan yang terdahulu. Namun Roberto Martinez enggan menjadikan anggapan itu satu realiti. Dia sedar akan usia pemain-pemain pentingnya di dalam skuad tahun ini yang makin lanjut dan dia bergerak untuk memerahkan hasil yang terbaik dari mereka.

Eden Hazard dan Kevin de Bruyne kedua-duanya telah berusia 27 tahun. Kebanyakan barisan pertahanan Martinez berada di lingkungan usia 30-an, bersama dengan Marouane Fellaini dan Dries Mertens. Untuk Belgium, masa mereka untuk menjadi Juara adalah sekarang!

Jadi, Martinez menggadaikan segala-galanya ketika menentang Brazil, membuat beberapa tukaran taktikal yang tidak disangka-sangka. Romelu Lukaku diletakkan di serangan sebelah kanan untuk membenarkan Kevin De Bruyne berlegar di bahagian tengah dan mereka telah memusnahkan Brazil.

Ia bukanlah pertandingan lelaki melawan kanak-kanak tetapi lebih kepada binatang buas menentang penjaga zoo yang kecil. Binatang buas Belgium mengganas dan meninggalkan penjaga zoo mereka untuk menyorok di sudut bilik yang kecil.

Namun begitu, ketika melawan Perancis nanti, N’Golo Kante tidak akan ditakutkan dengan begitu mudah. Malah, pertembungan dia dengan De Bruyne nanti akan merangkumi gaya dan komposisi kedua-dua pihak.

Kerja De Bruyne adalah untuk menjadi konduktor orkestra Belgium, manakala tugas Kante adalah untuk mematahkan kayu konduktor okestra itu.

Satu mencipta dan satu lagi menghentikan. Mereka adalah pemain tengah yang direka bentuk dalam imej pengurus mereka.

Di kalangan media Perancis, formula yang digunakan berulang kali oleh Didier Deschamps telah lama menjadi sumber kerengsaan, tetapi dogma yang dirasakan oleh jurulatih itu tampaknya telah sampai ke puncaknya.

Deschamps mempunyai skuad kedua termuda dalam Piala Dunia kali ini dan dia layak mendapat kredit untuk menurunkan pemain “fullback” Benjamin Pavard dan Lucas Hernandez. Kedua-duanya hanya berusia 22 tahun.

Walau bagaimanapun, menonton Perancis bermain boleh menjadi pengalaman yang sangat menggecewakan, seperti menonton artis di sepanjang Sungai Seine yang cuba melukis Notre-Dame dengan tangannya terikat.

sebuah Pasukan dengan Kylian Mbappe, Paul Pogba, Antoine Griezmann dan Corentin Tolisso harus menjaringkan lebih daripada tiga gol dalam peringkat kumpulan.

Pasukan yang mempunyai bakat menyerang yang banyak itu tidak sepatutnya mempunyai penyerang seperti Olivier Giroud yang masih mencari gol pertamanya selepas 380 minit masa permainan.

Lebih-lebih lagi, satu pasukan yang cukup yakin untuk meninggalkan kelajuan dan fleksibiliti Anthony Martial di rumah sepatutnya menunjukkan satu persembahan yang menarik untuk ditonton.

Meskipun dikalahkan pada perlawanan akhir Euro 2016 oleh Portugal, Deschamps tetap meneruskan dan mempertahankan pendekatan 4-2-3-1 yang sama dan langsung tidak mengendahkan pendapat-pendapat kritik untuk menukarkan pendekatan itu.

Pemain tengah bertahan yang memenangi Piala Dunia 1998 kini telah membimbing negaranya ke perlawanan akhir dan separuh akhir dalam dua kejohanan berturut-turut. Dia tidak akan menyimpang daripada yang dipercayainya akan berjaya sekarang.

Ada yang mungkin mengatakan formulanya berfungsi. Namun formula hanyalah bagus untuk dicatitkan di dalam buku teks matematik.

Piala Dunia menyentuh bahagian-bahagian jiwa yang tidak boleh dicapai oleh buku teks matematik.

Martinez tahu akan ini. Di Wigan dan Everton, dia enggan berkompromi dengan prinsip kejurulatihannya, walaupun idealismenya telah menyebabkan beliau dipecat.

Sekarang dia diberkati dengan ahli-ahli magis bola sepak, bukannya pengembara bola sepak yang cekap tapi tidak memberi inspirasi, dia tidak perlu berkompromi.

Seperti yang ditunjukkan dengan kejayaan mengalahkan Brazil, demi kepentingan terbaik Belgium dia tidak patut berkompromi.

Deschamps dan Martinez sama-sama layak ke peringkat separuh akhir, tetapi hanya Belgium yang telah memenangi hati dan minda ramai peminat, menganjurkan permainan bola sepak seperti kafein yang membuatkan kita terjaga pada 2 pagi dan wajar mendapat kemenangan.

Perancis mudah disukai, tetapi Belgium mudah dicintai.

Baca Juga: Thierry Henry – Antara Cinta Dan Kesetiaan.

Dapatkan Phone Case Jersi Piala Dunia 2018 Made by BlankCo Di sini. Jangan lupa untuk masukkan kod INIKANBOLA untuk dapatkan diskaun 10%http://bit.ly/2NrF56X

Nota: Setiap pembelian anda di BlankCo dengan menggunakan kod INIKANBOLA, kami akan mendapat sebahagian dari hasil penjualan itu. Ayuh, teruskan menyokong kami!

Leave a Reply