Sumber Gambar: Kedah FA

Pasukan Kedah berpeluang untuk menebus kesilapan lama mereka apabila layak bermain di peringkat Asia tahun hadapan. Kedah sepatutnya bermain dalam sainga Piala AFC edisi tahun ini namun mereka tidak dibenarkan untuk beraksi kerana kegagalan untuk mendapatkan lesen AFC.

Kedah mendapat slot untuk bermain dalam saingan Piala AFC 2018 setelah berjaya menewaskan pasukan Pahang dalam perlawanan akhir Piala FA edisi 2017. Namun, mereka dilucutkan slot tersebut setelah gagal memperoleh lesen AFC walaupun telah diberikan masa dan juga peluang oleh MFL untuk berbuat demikian.

Kali ini, Kedah berpeluang untuk menebus kesilapan tersebut. Pasukan bimbingan Nidzam Adha ini menduduki tangga ketiga dengan kutipan 30 mata, satu mata dibelakang pasukan Perak yang menghuni tangga kedua.

Jika berjaya menewaskan Melaka United malam ini dan Perak tewas atau sekadar mengutip satu mata ketika menentang Johor Darul Ta’zim maka Kedah akan menduduki tangga kedua sekaligus berpeluang untuk beraksi dalam peringkat kelayakkan Liga Juara-Juara Asia.

Bagi pasukan Melaka United pula, mereka mahu meraih kemenangan bagi melonjak ke kedudukan pertengahan Liga. Melaka ketika ini berada di tangga kesembilan, sama mata dengan dua lagi pasukan iaitu Selangor dan Kuala Lumpur dengan kutipan 30 mata.

Setelah tewas 4-0 kepada Johor Darul Ta’zim pada perlawanan terakhir Liga, anak-anak buah E.Elavarasan sudah pasti mahu bangkit dan mula kembali ke jalan kemenangan. Untuk perlawanan malam ini, Melaka akan kembali diperkuatkan oleh beberapa tonggak yang tidak dapat diturunkan ketika menentang JDT seperti Syahrul Azwari, R.Gopinathan dan S.Chanturu.

Apa yang penting, Kedah dan juga Melaka United perlu mengutip tiga mata penuh pada perlawanan malam ini bagi memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga. Terutamanya pasukan Kedah jika mereka mahu bermain di peringkat kelayakkan Liga Juara-Juara Asia tahun hadapan.

Namun, pengurusan pasukan Kedah juga harus menyelesaikan perihal perlesenan kelab terlebih dahulu agar mereka tidak berhadapan sebarang masalah untuk beraksi di saingan peringkat tertinggi Asia tersebut.

Baca Juga: Roket Andik Bantu Kedah Tundukkan Kuala Lumpur

Leave a Reply