Dengan mahkota kejuaraan Liga Super hampir pasti dimiliki oleh Johor Darul Ta’zim sekali lagi, tumpuan kini terarah kepada persaingan untuk mendapatkan trofi Kasut Emas atau penjaring terbanyak Liga Super musim 2018.

Ketika ini, ada tiga penyerang yang mempunyai peluang untuk mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Super. Tiga penyerang tersebut ialah Rufino Segovia, Kipre Tchetche dan Guilherme De Paula.

Penyerang Selangor, Rufino Segovia menduduki tangga pertama dengan kutipan 14 gol setakat ini. Penyerang sekaligus ketua pasukan Terengganu FC, Kipre Tchetche menduduki tangga kedua dengan 13 gol sementara penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula menduduki tangga ketiga dengan kutipan 11 gol.

Prestasi cemerlang sepanjang musim Rufino Segovia berjaya membawa beliau menduduki tangga pertama dalam perlumbaan untuk memperebutkan Kasut Emas Liga Super musim ini. Walaupun prestasi pasukan Selangor kadang-kala sedikit terumbang-ambing, namun Rufino tidak pernah gagal untuk beraksi dengan baik.

Bagi Kipre pula, meskipun beliau terpaksa berehat sebentar kerana kecederaan, namun perkara tersebut tidak menghambat prestasi beliau dengan menjaringkan gol buat Terengganu FC.

Guilherme De Paula pula berjaya kembali ke rentak jaringan setelah beliau memulakan Liga Super musim 2018 dengan sedikit perlahan.

Dengan berbaki lima lagi perlawanan Liga, perlumbaan antara ketiga-tiga penyerang ini dilihat semakin menarik. Jika Rufino berjaya menjaringkan gol dalam kelima-lima perlawanan ini sementara Kipre dan Guilherme gagal berbuat demikian, maka Anugerah Penjaring Terbanyak akan menjadi milik beliau.

Akan tetapi, jika Rufino gagal untuk mengekalkan rentak jaringan beliau manakala Kipre dan Guilherme berjaya berbuat sebaliknya, maka Kasut Emas ini akan diperebutkan sehingga perlawanan terakhir saingan Liga Super musim ini.

Apa pendapat anda mengenai perlumbaan untuk mendapatkan Anugerah Penjaring Terbanyak saingan Liga Super musim 2018 diantara Rufino Segovia, Kipre Tchetche dan Guilherme De Paula ? Penyerang manakah yang akan memenangi anugerah tersebut sekaligus membuktikan bahawa beliau adalah penyerang paling tajam dan paling subur dalam saingan Liga Super musim 2018 ?

Baca Juga: Kuda Tua Masih Relevan Untuk Pasukan Kebangsaan ?

Leave a Reply