Sumber Gambar: FA Selangor

Kelantan akan turun menentang gergasi yang sedang terluka iaitu pasukan Selangor pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Sultan Mohammad IV malam ini. Pasukan bimbingan Yusri Che Lah ini wajib mencatat kemenangan bagi mencerahkan peluang mereka untuk keluar dari zon penyingkiran.

Untuk mempunyai peluang mengekalkan tempat dalam saingan Liga Super musim hadapan, Kelantan perlu mengutip mata penuh pada baki saingan Liga Super yang tersisa lima perlawanan lagi. Dan mereka perlu melakukan perkara tersebut dengan meraih kemenangan ke atas pasukan Selangor malam ini.

Sejak dibimbing kali kedua oleh Yusri Che Lah, Kelantan menunjukkan sedikit peningkatan dimana mereka berjaya mengutip kemenangan setelah gagal untuk berbuat demikian di bawah bimbingan Fajr Ibrahim.

Namun, kebangkitan mereka tidak bertahan lama apabila Kelantan tewas dalam tiga perlawanan terakhir dan kekal menduduki tempat tercorot dalam carta Liga. Sudah pasti mereka mahu segera kembali mencatat kemenangan bagi mencerahkan peluang untuk kekal.

Bagi pasukan Selangor pula, mereka mahu mencari penawar setelah terluka ketika tewas kepada pasukan Pahang dalam perlawanan akhir Piala FA pada Sabtu lalu. Dan satu-satunya penawar yang boleh menyembuhkan luka mereka ialah kemenangan ke atas Kelantan malam ini.

Penyerang import, Rufino Segovia sekali lagi diletakkan sebagai harapan utama pasukan Selangor untuk merobek gawang pasukan Kelantan. Rufino ketika ini menduduki tangga teratas dalam perlumbaan untuk menjadi penjaring terbanyak Liga Super. Jika beliau berjaya menjaringkan gol, maka kedudukan di tempat pertama semakin sukar untuk digugat penyerang lain.

Apa yang penting, Kelantan wajib mengutip tiga mata penuh jika mereka mahu mengekalkan status dalam saingan Liga Super pada musim akan datang. Para pemain harus memberikan sepenuh perhatian dan tidak boleh membuat kesilapan mudah bagi membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan Selangor menentang pasukan Kelantan malam ini ? Mampukah Kelantan mengutip mata penuh sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk kekal ?

Baca Juga: Pasukan Liga Super Harus Ada Mentaliti Juara

Leave a Reply