Sumber Gambar: JST

Tamat sudah persaingan bagi memperebutkan mahkota Liga Super apabila Johor Darul Ta’zim menewaskan pasukan Perak semalam sekaligus meraih kejuaraan kelima berturut-turut. Penulis berpendapat JDT bakal meraih lima lagi kejuaraan sekiranya pasukan lain dalam saingan Liga Super tidak mempunyai mentaliti juara!

Perjalanan JDT untuk muncul sebagai juara musim ini tidaklah sesukar seperti musim sebelumnya. Mereka selesa menduduki carta Liga tanpa ada pencabar terdekat yang boleh menggugat kedudukan mereka. Jarak mata antara JDT dengan pasukan lain di bawah mereka cukup besar berbanding sebelumnya.

Jika kita melihat dari segi pencabar yang paling hampir dengan JDT, sebelumnya ada dua pasukan iaitu pasukan Perak dan juga Pahang sebelum Pahang hanyut bagai dibawa ombak dan meninggalkan pasukan Perak sebagai satu-satunya pencabar.

Akan tetapi, kegagalan pasukan Perak untuk mengekalkan rentak yang konsisten telah menyebabkan mereka juga turut hanyut. Pada perlawanan semalam, Perak gagal untuk mengekalkan kelebihan yang dimiliki apabila membiarkan pemain JDT memberikan asakan seterusnya mendapatkan jaringan.

Apa yang pasti, jika pasukan Liga Super tidak mempunyai mentaliti juara dan tidak ada cita-cita untuk menjadi antara pasukan pencabar bagi mahkota Liga, maka dengan senang JDT akan memenangi lima lagi kejuaraan pada musim berikutnya.

Mereka tidak boleh memerapkan mentaliti mahu menjadi pasukan kedua terbaik ataupun ketiga terbaik selepas ini. Jika begini keadaannya, bila bola sepak Malaysia nak maju ke hadapan ?

Walau apa pun, penulis nak ucapkan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim di atas kejayaan meraih kejuaraan kelima Liga Super buat mereka. Satu pencapaian yang sememangnya berhak diraih kerana barisan pemain yang dimiliki dan juga kejayaan mengekalkan rentak konsisten sepanjang musim.

Bagi pasukan lain pula, bangunlah dari mimpi di siang hari dan mula bekerja keras daripada sekarang. Terapkan mentaliti mahu menjadi juara di dalam minda anda agar persaingan dalam memperebutkan trofi Liga Super pada musim akan datang semakin meriah sekaligus mengangkat lagi mutu dan juga kualiti Liga Malaysia.

Baca Juga: 5 Kejuaraan Berturut-Turut!

Leave a Reply