Sumber Gambar: Marca In English

Pemain pertahanan Perancis, Samuel Umtiti meleburkan harapan Belgium untuk bermain dalam perlawanan akhir pertama mereka dalam sejarah Piala Dunia apabila tandukan beliau pada separuh masa kedua memberikan kemenangan buat pasukan Perancis dalam perlawanan separuh akhir sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan agresif apabila saling melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan. Pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi mempunyai peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan namun percubaan beliau berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Belgium juga mempunyai deretan peluang apabila gandingan Eden Hazard dan Kevin De Bruyne saling membuat percubaan ke arah gawang Perancis namun percubaan kedua-dua pemain ini tidak menepati sasaran.

Belgium hampir saja menjaringkan gol apabila Toby Alderweireld membuat rembatan setelah keadaan sedikit kelam-kabut di hadapan pintu gol Perancis. Mujur Hugo Lloris sudah bersedia untuk menepis rembatan tersebut. Separuh masa pertama kekal dengan kedudukan 0-0.

Memasuki separuh masa kedua, Belgium dan Perancis memperkemaskan lagi jentera serangan mereka. Pada minit ke-51, sepakan penjuru yang diambil oleh Antoine Griezmann berjaya ditanduk oleh Umtiti sekaligus menewaskan Courtois bagi memberi kelebihan buat Les Blues.

Tersentak dengan jaringan Umtiti, Belgium melipat-gandakan asakan ke arah kubu pertahanan Perancis. Roberto Martinez memasukkan Dries Mertens dan Yannick Carrasco bagi menambah lagi sengat di bahagian serangan.

Serangan demi serangan dilancarkan dan Belgium hampir untuk memperoleh gol penyamaan namun percubaan Axel Witsel dari luar kotak penalti berjaya ditepis oleh Lloris.

Meskipun diasak dengan serangan bertali-arus, akan tetapi barisan pertahanan Perancis berjaya mengawal dan juga mematahkan segala gerakan yang dilancarkan.

Dengan kemenangan ini, Perancis mempunyai peluang untuk meraih kejuaraan Piala Dunia ketiga selepas kali terakhir memenangi trofi paling berprestij itu pada edisi 1998 lalu dimana mereka menewaskan Brazil pada perlawanan akhir.

Bagi Belgium pula, meskipun mempunyai Thierry Henry sebagai pembantu Roberto Martinez, namun hal itu masih belum mencukupi bagi mereka melangkah ke perlawanan akhir pertama dalam sejarah Piala Dunia. Kegagalan memanfaatkan peluang pada perlawanan sebentar tadi nyata memakan diri.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Perancis ke atas pasukan Belgium dalam perlawanan separuh akhir temasya Piala Dunia edisi kali? Mampukah Perancis mengekalkan rentak kemenangan?

Dapatkan Phone Case Jersi Piala Dunia 2018 Made by BlankCo Di Sini. Jangan lupa untuk masukkan kod INIKANBOLA untuk dapatkan diskaun 10%.

Nota: Setiap pembelian anda di BlankCo dengan menggunakan kod INIKANBOLA, kami akan mendapat sebahagian dari hasil penjualan itu. Ayuh, teruskan menyokong kami!

Baca Juga: Biar Bakat Belgium Mengalahkan Formula Perancis

Leave a Reply