Sumber Gambar: Perak TBG

Tempat kedua dalam saingan Liga Super musim ini masih lagi terbuka setelah pasukan Perak dan Kedah tewas kepada lawan masing-masing dalam perlawanan Liga semalam.

Dengan kekalahan Perak dan Kedah manakala Terengganu FC berjaya menewaskan pasukan Kuala Lumpur, jarak mata antara ketiga-tiga pasukan ini hanya dibezakan satu mata sahaja. Belum lagi kita masukkan pasukah Pahang yang malam ini akan turun menentang PKNP FC di Darul Makmur.

Seperti sedia maklum, Pahang tidak akan beraksi di peringkat Asia meskipun mereka telah memenangi Piala FA edisi tahun ini dan jika mereka menduduki tempat kedua sekalipun, mereka tetap tidak akan dibenarkan beraksi.

Jadi, kami melihat tiga pasukan iaitu Perak, Kedah dan Terengganu FC sebagai pasukan yang mempunyai peluang cerah untuk menggantikan Pahang sekiranya pasukan bimbingan Dollah Salleh ini tidak membuat sebarang rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Berbaki empat perlawanan lagi, Perak bakal menghadapi pasukan Pahang, Kuala Lumpur, Kedah dan PKNS FC. Pasukan Kedah pula akan menghadapi Johor Darul Ta’zim, Terengganu FC, Perak dan PKNP FC pada perlawanan terakhir Liga.

Manakala pasukan bimbingan Irfan Bakti akan menghadapi PKNS FC, Kedah, Kelantan dan Selangor pada hari terakhir Liga Super.

Melihat kepada lawan kepada ketiga-tiga pasukan tersebut, satu tugas berat menanti mereka bagi mendapatkan tempat kedua dalam saingan Liga. Terutamanya pasukan Kedah yang harus berdepan dengan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim dan pasukan Perak yang bakal berdepan juara Piala FA 2018, Pahang.

Apa yang penting, ketiga-tiga pasukan ini wajib meraih mata penuh bagi memastikan slot ke Asia menjadi milik mereka. Para pemain perlu memberikan fokus mereka yang sepenuhnya dan mengelak daripada membuat kesilapan mudah agar pasukan tidak kehilangan mata yang sangat berharga ketika ini.

Apa pendapat anda mengenai perlumbaan bagi memperebutkan tempat kedua dalam saingan Liga Super yang menjanjikan slot untuk beraksi di peringkat kelayakkan Liga Juara-Juara Asia tahun hadapan ? Pasukan manakah yang akan mendapatkan slot tersebut ?

Baca Juga: Pasukan Liga Super Harus Ada Mentaliti Juara

Leave a Reply