Sumber Gambar: FAM

Harimau Muda negara berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF Bawah 19 Tahun dengan menewaskan Garuda Muda Indonesia menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit sebelumnya. Penjaga gol pasukan negara, Azri Abdul Ghani menjadi wira pasukan apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan pemain Indonesia.

Sebelum itu, Indonesia berjaya membuka tirai jaringan apabila pemain yang beraksi di Liga Poland, Egy Maulana Vikri menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-12 bagi memberi kelebihan awal buat pasukan tuan rumah.

Namun, pasukan muda negara berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan ketua pasukan, Muhammad Syaiful dua minit kemudian berpunca daripada sepakan penjuru. Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain Indonesia menggandakan asakan tetapi percubaan mereka gagal untuk menembusi gawang Azri dan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.

Memasuki separuh masa kedua, Indonesia dilihat pasukan yang lebih dominan apabila mereka menguasai dan kerap membuat percubaan ke arah kubu pertahanan pasukan negara.

Walaupun diasak secara bertubi-tubi, barisan pertahanan pasukan bawah 19 tahun tenang menyerap segala asakan yang dilancarkan pemain Indonesia dan mengheret perlawanan sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Pemain kedua-dua pasukan berjaya menyempurnakan dua sepakan pertama sebelum pemain Indonesia gagal untuk menyempurnakan sepakan ketiga dan juga keempat. Zafuan Azeman mempunyai peluang keemasan untuk mengesahkan kemenangan pasukan negara namun sepakan beliau berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Indonesia.

Azri kemudiannya menjadi wira pasukan apabila beliau berjaya menyelamatkan sepakan yang diambil oleh Witan Sulaiman dan mengesahkan tempat Malaysia di perlawanan akhir dengan menentang pasukan Myanmar bawah 19 tahun.

Syabas diucapkan kepada para pemain muda negara apabila mereka berjaya menewaskan Garuda muda dan juga berjaya menyerap segala asakan daripada pemain dan juga penyokong fanatik lawan. Sememangnya satu tugas yang sangat sukar bagi pemain bawah 19 tahun negara.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan bawah 19 tahun negara ke atas pasukan bawah 19 tahun Indonesia? Mampukah anak-anak muda kita menewaskan Myanmar di perlawanan akhir?

Baca Juga: Tugas Berat Pasukan Bawah 19 Tahun Tanpa Mat Yat

Leave a Reply