Sumber Gambar: NDTV Sports

England is going home! Itulah yang terjadi apabila anak-anak buah Gareth Southgate ini tewas kepada pasukan Croatia pada perlawanan separuh akhir sebentar tadi. Jaringan Mario Mandzukic pada masa tambahan sudah cukup untuk menghantar Croatia ke perlawanan akhir Piala Dunia dalam sejarah bola sepak mereka.

Pada perlawanan sebentar tadi, England bermula garang apabila mereka membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma yang berjaya disempurnakan oleh Kieran Trippier.

Tersentak dengan jaringan Trippier, pemain Croatia menggandakan asakan ke arah kubu pertahanan England dan mereka hampir menyamakan kedudukan namun percubaan Ante Rebic diselamatkan oleh penjaga gol England, Jordan Pickford. Separuh masa pertama berakhir dengan England di hadapan.

Bermula separuh masa kedua, Croatia memperkemaskan corak permainan mereka dan tampil dengan lebih garang berbanding persembahan pada separuh masa pertama. Pemain Croatia yang diketuai oleh Luka Modric terus mengasak dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan apabila Ivan Perisic menolak masuk hantaran daripada Sime Vrsaljko dari sebelah kanan.

Perisic melompat tinggi bagi mengatasi Kyle Walker bagi menjaringkan gol penyamaan Croatia. Apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan, pemain Croatia dilihat lebih bernafsu dalam mencari gol.

Namun, percubaan demi percubaan dilakukan oleh kedua-dua pasukan dan tiada satu pun yang berjaya disempurnakan. Akhirnya, perlawanan diheret ke masa tambahan bagi mencari pemenang.

Masa tambahan pada perlawanan sebentar tadi merupakan kali ketiga bagi pasukan bimbingan Zlatko Dalic dalam temasya Piala Dunia edisi kali ini. Walau begitu, para p3main Croatia tidak menunjukkan tanda-tanda mereka keletihan malah mereka semakin bersemangat.

Usaha keras pemain Croatia akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang Juventus, Mario Mandzukic berjaya memanfaatkan tandukan daripara Ivan Perisic dan merembat masuk melepasi Jordan Pickford. Jaringan tersebut juga dibantu oleh kesilapan John Stones dan Harry Maguire dalam mengawal Mandzukic.

Croatia seterusnya bertahan dan memastikan mereka mara ke perlawanan akhir Piala Dunia pertama dalam sejarah bola sepak mereka sekaligus membuatkan England “going home”. Croatia juga berjaya mengatasi pencapaian terbaik sebelum ini dimana mereka mara sehingga ke peringkat separuh akhir pada edisi 1998.

Croatia akan menghadapi Perancis pada perlawanan akhir Ahad ini manakala England akan menentang Belgium pada penentuan tempat ketiga dan keempat.

Tahniah kami ucapkan kepada Croatia dan syabas kepada pasukan muda England. Siapa sangka pasukan yang pada mulanya tidak diletakkan harapan yang tinggi namun berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir.

Apa pendapat anda mengenai kemenangan pasukan Croatia ke atas pasukan England sebentar tadi? Mampukah Croatia mencipta kejutan sekali lagi?

Baca Juga: Luka Modric Dilema Untuk England?

Leave a Reply