Sumber Gambar: AFF

Tugas berat menanti pasukan bawah 19 tahun negara apabila mereka akan turun menentang pasukan tuan rumah, Indonesia bawah 19 tahun dalam perlawanan separuh akhir malam ini dengan ketiadaan Akhyar Rashid yang terpaksa dihantar pulang kerana kecederaan.

Akhyar mengalami kecederaan bahu ketika Malaysia seri dengan pasukan Timor Leste dalam perlawanan kumpulan B pada Ahad lalu. Setelah diperika dengan lebih lanjut, ketua jurulatih pasukan, Bojan Hodak memutuskan untuk menghantar pulang Akhyar ke Wisma FAM bagi menjalani proses pemulihan.

Beliau terpaksa berbuat demikian kerana ada kejohanan yang lebih penting iaitu Piala AFC Bawah 19 Tahun yang akan berlangsung pada Oktober depan. Jad, Akhyar perlu menjalani proses pemulihan bagi membolehkan beliau cergas untuk beraksi dalam kejohanan tersebut.

Dengan ketiadaan Mat Yat, pasukan bawah 19 tahun negara masih lagi mempunyai beberapa pemain yang boleh dijadikan sandaran utama antaranya Hadi Fayyadh, Nik Akif Syahiran dan Zafuan Azeman. Ketiadaan Akhyar sedikit-sebanyak akan memberi kesan kepada pasukan.

Anak-anak buah Bojan Hodak akan menentang pasukan Indonesia pada perlawanan peringkat separuh akhir malam ini. Mereka tidak boleh memandang pasukan tuan rumah sebelah mata kerana Indonesia mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam kejohanan edisi kali ini.

Pemain seperti Saddil Ramdani, Todd Rivaldo Ferre, Rafli Mursalim dan Witan Sulaiman bakal menjadi harapan utama Garuda Muda untuk merobek gawang pasukan negara.

Selain dari segi para pemain Indonesia, puluhan ribu penonton yang bakal membanjiri Stadium Gelora Delta sudah pasti akan memberikan tekanan kepada para pemain. Kita sedia maklum betapa fanatiknya peminat bola sepak di Indonesia.

Apa yang pasti, mental dan fizikal para pemain bawah 19 tahun negara perlu berada di tahap tertinggi jika mereka mahu mara ke perlawanan akhir. Sememangnya satu tugas berat menanti anak-anak buah Bojan Hodak malam ini.

Apa pendapat anda mengenai perlawanan diantara pasukan bawah 19 tahun Malaysia menentang pasukan bawah 19 tahun Indonesia dalam perlawanan peringkat separuh akhir Piala AFF Bawah 19 Tahun malam ini ? Mampukah barisan muda negara menewaskan pasukan tuan rumah ?

Baca Juga: Peluang Ke Separuh Akhir Semakin Cerah

Leave a Reply