Sumber Gambar: nytimes.com

Perlawanan yang paling dinantikan oleh seluruh peminat bola sepak di seluruh dunia akan berlangsung malam ini di Stadium Luzhniki dimana pasukan Croatia akan menentang Perancis di pentas perlawanan akhir. Di sini, kami berpendapat Croatia mampu mencipta kejutan dengan menewaskan Perancis malam ini.

Kualiti yang dimiliki oleh Croatia dalam temasya kali ini sememangnya mengejutkan ramai pihak. Siapa sangka mereka boleh menjuarai kumpulan B dimana terdapat pasukan pilihan, Argentina dalam kumpulan tersebut. Croatia kemudiannya mengambil jalan sukar dimana mereka bermain dalam masa tambahan di ketiga-tiga perlawanan kalah mati, suku akhir dan separuh akhir.

Seorang pemain dianggap sebagai enjin dan juga watak utama disebalik kecemerlangan Croatia kali ini. Pemain tersebut ialah ketua pasukan iaitu Luka Modric. Luka Modric tenang mengawal bahagian tengah pasukan dan menjadi penggerak kepada segala asakan yang dilancarkan oleh barisan serangan Croatia. Modric menjadi pemain yang berlari paling jauh dengan anggaran jarak sejauh 36 kilometer. Melebihi pemain lain dalam temasya kali ini.

Ante Rebic, Ivan Perisic dan Mario Mandzukic juga wajar diberikan pujian kerana peranan mereka di bahagian serangan pasukan Croatia. Walaupun dianggap biasa-biasa ketika beraksi di peringkat kelab, namun ketiga-tiga penyerang ini masih lagi mampu untuk beraksi dengan cemerlang. Barisan pertahanan England pun tak mampu nak mengawal ketiga-tiga pemain ini.

Jika berjaya menewaskan Perancis sekaligus muncul juara dunia buat pertama kali dalam sejarah bola sepak negara tersebut, maka kemenangan itu akan menjadi kemenangan yang akan diingati dalam satu tempoh masa yang lama. Bagaimana satu pasukan yang dianggap sebagai pelengkap saja namun berjaya mencipta kejutan dengan memenangi Piala Dunia.

Dan andai kata mereka tewas malam ini, mara ke perlawanan akhir sudah boleh dijadikan sebagai satu kebanggaan yang besar buat negara yang mempunyai popuulasi seramai 4 juta orang ini.

Apa pendapat anda mengenai peluang Croatia untuk mencipta kejutan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018 menentang pasukan Perancis malam ini ? Mampukah mereka membenam pasukan yang dibarisi oleh ramai bintang sekaligus mencipta sejarah ?

Baca Juga: Griezmann Sedang Diasah Menjadi Zidane

Leave a Reply