Sumber Gambar: Sports Illustrated

Pertama sekali, sekalung tahniah untuk Perancis kerana berjaya menjuarai Piala Dunia 2018 di Rusia. Kalau ada yang mengatakan Perancis tidak layak memenangi kejohanan tersebut, cuba lihat kembali perjalanan mereka untuk muncul juara.

Layak ke pusingan kedua sebagai juara kumpulan C dengan mengenepikan Peru dan Australia manakala Denmark muncul naib juara. Kemudian skuad kendalian Didier Deschamps berdepan juara dunia 2 kali Argentina. Bintang mudanya, Kylian Mbappe membuktikan dia merupakan pemain bertaraf dunia apabila berseorangan mengkucar-kacirkan pertahanan Argentina dengan menjaringkan 2 gol. Perancis menang 4-3.

Pada aksi suku akhir, Uruguay yang terpaksa turun tanpa tonggaknya Edinson Cavani gagal menyekat kemaraan Perancis. Kesilapan Subasic membawa padah apabila gagal menangkap kemas percubaan Griezmann sebelum bola menerjah gawang. Saingan paling getir skuad Les Bleus adalah pada separuh akhir menentang Belgium.

Dibarisi ‘generasi emas’ seperti Romelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Eden Hazard, Thibaut Curtois, Perancis meninggalkan corak permainan serangan mereka dengan lebih banyak bertahan. Dan mereka berjaya melangkah ke final dengan kemenangan 1-0.

Perancis melengkapkan kejuaraan mereka dengan memusnahkan Croatia yang diketuai Luka Modric dengan jaringan 4-2.

Berbalik kepada tajuk kita, evolusi bola sepak. Sedar atau tidak pasukan pilihan dan pasukan besar gagal beri impak dalam saingan Piala Dunia kali ini. *Ehem, kecuali Perancis. Jerman tumpas pada saingan kumpulan. Argentina dan Sepanyol di pusingan kedua. Brazil di suku akhir. Ye lah, dah Neymar asik nak berguling je, macam mana bola nak masuk dalam gol. Kita bincangkan perkara itu dalam artikel lain nanti.

Rata-rata peminat bola sepak serta media konvensional mengatakan Jerman ditimpa badi juara apabila gagal melepasi peringkat kumpulan. Perancis pada 2002, Itali pada 2010, dan Sepanyol pada 2014. Tetapi kalau dilihat lebih mendalam, kesemua pasukan ini rata-ratanya mengekalkan barisan pemain yang hampir sama untuk kejohanan berprestij ini selepas menjulang trofi Piala Dunia.

Pada saya keinginan untuk menang pasukan-pasukan ini berkurangan. Mereka dah mengecapi kejayaan paling tinggi dalam arena bola sepak dunia, tiada apa yang perlu dibuktikan lagi.

Tetapi jawapan yang lebih realistik dan logik adalah pasukan-pasukan ini mengamalkan corak permainan yang sama dengan sebahagian besar pemain yang sama daripada skuad sebelumnya. Namun permainan bola sepak tidak pernah berhenti berevolusi. Daripada formasi 4-4-2 kepada 4-2-3-1 dan kepada 3-5-2. Begitu cepat sukan ini berevolusi.

Lihat sahaja bagaimana Perancis muncul juara. Mereka mampu mendominasi possession, menyerang seperti tiada hari esok, dan bertahan. Falsafah possession football yang diamalkan Sepanyol dan Jerman tidak lagi menjamin kemenangan dan kejuaraan.

Lihat sahaja Leicester City ketika muncul juara Liga Perdana Inggeris. Bermain corak permainan counter attack yang hampir sempurna. Sekaligus menggemparkan arena bola sepak dunia. Perkara seumpama ini juga berlaku dalam Serie A dan Bundesliga cuma sayangnya pasukan-pasukan tersebut gagal menjuarai liga domestik masing-masing.

Deschamps menukar corak permainan anak buahnya hampir dalam setiap perlawanan yang mereka hadapi. Ini sekaligus memberikan element of surprise kepada pihak lawan yang mungkin melakukan persiapan berdasarkan perlawanan terdahulu Perancis. Dalam masa sama, pihak lawan juga tidak dapat menjangkakan corak permainan Les Bleus pada masa akan datang.

Beralih ke persembahan pasukan Asia pada Piala Dunia 2018. Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, dan Australia kalau diteliti mereka mula menerapkan possession football. Mereka berjaya pamerkan persembahan yang boleh dikatakan memikat di mata. Namun, mengapa mereka tidak mampu melangkah jauh selain daripada Korea Selatan? Tidak dinafikan ada antara pasukan ini diletakkan dalam kumpulan sukar dan laluan Jepun ke pusingan kedua dilihat lebih mudah. Tapi, pasukan-pasukan ini sukar menjaringkan gol biarpun memperoleh peratus possession yang tinggi dalam satu-satu perlawanan.

Sudah pasti, mereka mengikut acuan Barcelona dan Sepanyol pada tahun 2008 hingga 2010. Pastinya tidak salah mengikut acuan sang juara. Cuma berkemungkinan pasukan-pasukan ini terlambat. Evolusi bola sepak semakin pantas berlaku. Bila kali terakhir kita tengok seorang box to box midfielder yang betul-betul menyerlah? Bila pulak detik pertama kita dengar terma seperti trequartista, inside forward dan target man?

Berdasarkan sejarah, Perancis berkemungkinan besar mara ke final EURO 2020. Tapi bakal berdepan kesukaran pada Piala Dunia 2022 di Qatar. Maka kita semua berpeganglah pada kata-kata Shah Inderawan atau lebih dikenali sebagai Tomok bahawa ‘Sejarah Mungkin Berulang’. Power betul ayat Tomok ni. Namun, jika Perancis mampu sekali lagi berevolusi atau setidaknya menyesuaikan diri dengan perubahan bola sepak, jangan terkejut kalau mereka mampu menjuarai kejohanan di Qatar nanti.

Persoalan yang lebih penting, pasukan kerdil seperti Iceland berjaya pamerkan corak permainan bertahan dan layak ke Piala Dunia 2018. Pasukan gergasi Asia bermain possession football dan turut layak ke Piala Dunia. Apa kekuatan corak permainan skuad bola sepak kebangsaan negara yang mampu merealisasikan impian peminat bola sepak tempatan untuk melihat Harimau Malaya beraksi di peringkat tertinggi bola sepak ini? Sampai bila sekadar nak bersaing untuk kejuaraan AFF dan Sukan SEA? Sampai Abang Jamil mampos?

Kid.

Baca Juga: Piala Dunia 2018: N’Golo Kante Wajar Diangkat Sebagai Wira

Leave a Reply