Sumber Gambar: USIM - SPMM USIM

Piala Dunia Rusia 2018 telah pun melabuhkan tirainya yang menyaksikan Perancis berjaya merangkul kejuaraan kali kedua selepas 20 tahun. Ucapan syabas diucapkan buat seluruh negara yang mengambil bahagian atas semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan sepanjang kempen Piala Dunia kali ini.

Hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اَلْـمُؤْمِنُ الْقَـوِيُّ خَـيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَـى اللهِ مِنَ الْـمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ…

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah…”

(HR Muslim)

Rusia 2018 ternyata menyimpan pelbagai memori yang menarik untuk dikenang. Bermula dengan tersingkirnya juara bertahan Jerman, seterusnya ‘upset’ pasukan gergasi lain seperti Portugal, Argentina, di awal saingan. Elemen kebangkitan juga menjadi buah mulut penonton antaranya, pasukan kerdil seperti Iceland, Jepun, Korea Selatan dan juga pasukan generasi emas seperti Belgium dan Croatia.

Namun demikian, bukanlah niat untuk mengulas bab teknikal bola sepak secara terperinci. Penulisan ini bertujuan untuk mengajak semua pembaca merenung dan memandang kempen Piala Dunia kali ini dari sudut nilai dan pengajaran yang boleh diambil untuk dimanfaatkan dalam kehidupan.

Berikut sedikit coretan, nilai yang dilihat signifikan untuk diambil sebagai pengajaran buat semua.

i) Bergerak secara sepasukan.

Bola sepak merupakan sukan yang dimainkan oleh 11 orang pemain. Agak sukar bagi sesebuah pasukan untuk mengharapkan skil individu tertentu sahaja, seperti yang dilakukan Mohamed Salah (Mesir), Cristiano Ronaldo (Portugal) dan Lionel Messi (Argentina). Beban pasukan hanya akan terarah kepada seorang dan menyukarkan pasukan untuk mencapai objektif kerana kurang sokongan rakan sepasukan.

ii) Semangat juang membara.

Hal ini dibuktikan apabila terlalu banyak ‘upset’ daripada pasukan kecil yang berlaku dalam edisi kali ini. Pasukan yang berstatus bukan pilihan seperti Korea Selatan, Jepun, Maghribi, dan Senegal merupakan antara contohnya. Mereka bermain sehabis baik dengan semangat melawan yang tinggi, dan mampu mengejutkan lawan masing-masing sehingga terus menjadi bualan ramai meskipun telah tersingkir.

iii) Perancangan yang tepat.

Merancang dengan teratur dan mengikut kesesuaian situasi amatlah mustahak. Sama ada bermain sistem mengawal permainan (possesion football), mahupun serangan balas (counter attack), ia mesti disesuaikan dengan kemampuan pemain dan situasi semasa. Belgium yang terkenal dengan sistem pertahanan bertiga (back-three), menukar taktikal kepada pertahanan berempat (back-four) ketika bertemu Brazil, bagi mengimbangi lawan yang bermain corak permainan pantas dan membuahkan hasil menewaskan Brazil yang merupakan pilihan juara.

iv) Profesionalisme dijadikan budaya.

Sukan yang kini dianggap sebagai kerjaya, seharusnya melahirkan atlet yang profesional dalam segala tindakan. Insiden seperti berlakon di atas padang, melengahkan masa permainan, mencederakan dengan sengaja dan membuat provokasi antara yang mendapat kecaman peminat bola sepak seluruh dunia. Sepanyol yang diberikan anugerah ‘Fair Play’ oleh FIFA wajar dijadikan ikutan kerana sikap profesional dalam melaksanakan ‘kerja dan tugas’ mereka di atas padang.

v) Pengadilan yang saksama.

Mutu pengadilan sangat penting bagi memastikan permainan dijalankan dalam keadaan terkawal. Bantuan teknologi seperti Video Assistant Referee (VAR) dan Goal-Line Tecnology (GLT) bagi edisi 2018 ternyata banyak membantu pengadil dalam mengendalikan beberapa keputusan kontroversi seperti penentuan sepakan penalti yang menyaksikan 29 penalti telah diberikan, dan merupakan yang terbanyak dalam sejarah Piala Dunia. Melalui sistem pengadilan yang baik, pemain tidak sewenangnya melakukan kesalahan (foul), lebih berdisiplin dan menjadikan perlawanan itu lebih lancar dan teratur.

vi) Cakna terhadap persekitaran.

Bola sepak bukan semata berkisar tentang dalam padang (on-pitch), malah turut melibatkan situasi luar padang (off-pitch). Antara yang menjadi bualan ramai ialah sikap penyokong Jepun dan juga Senegal yang sentiasa dilihat mengutip sampah dan membersihkan persekitaran stadium selepas tamat perlawanan, merupakan budaya yang wajar diikuti. Turut dimaksudkan cakna di sini ialah kesediaan pemimpin tertinggi negara peserta yang sanggup turun bersama penyokong setiap kali perlawanan seperti Presiden Croatia, Perdana Menteri Perancis dan lain-lain.

vii) Rezeki sebagai faktor pelengkap.

Tidak dapat dinafikan, rezekilah merupakan penentu bagi setiap hasil perlawanan. Cantik mana sekalipun corak permainan, banyak mana pun percubaan tepat (shots on target), tetapi jika rezeki tidak berpihak maka tiada apa yang boleh dikatakan. Sepanyol yang mencipta rekod hantaran (passes) yang melebihi 1000 hantaran setiap perlawanan, juga masih sukar menjaringkan gol, malah bagi penyerang nombor 9 Perancis, Olivier Giroud yang tidak menjaringkan satu gol buat pasukan pula yang beruntung merangkul juara Piala Dunia.

 

Sendainya diamati setiap nilai dan misal yang diberikan, sememangnya sangat dekat dengan kehidupan seharian kita sama ada bekerja dalam organisasi, mahupun dalam hidup bermasyarakat. Kesimpulannya, lihatlah Piala Dunia ini bukan hanya sekadar tentang sebiji bola sahaja, tetapi pandanglah juga dari sudut nilai dan intipatinya yang sangat berharga buat yang memahami. Semoga nilai ini mampu disematkan di setiap hati kita dalam meneruskan kehidupan sebagai manusia yang bermanfaat bagi manusia yang lain.

Terima kasih Rusia 2018 atas segala kenangan. Jumpa lagi di Qatar 2022!

(Nota: Artikel ini telah dikarang oleh saudara Muhammad Fahmi bin Arbain dari Pendakwah Muda Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia).

Baca Juga: N’Golo Kante Wajar Diangkat Sebagai Wira

Leave a Reply