Liga bolasepak Malaysia sudah hampir ke penghujungnya. Selepas kita sudah tahu JDT dan Felda United menjadi juara Liga Super dan Liga Perdana, kita masih ternanti-nanti siapa yang bakal mengiringi JDT ke Liga Juara-Juara Asia, siapa yang bakal tersingkir dan siapa yang bakal naik. Penulis membuat satu kajian mengenai tiga divisyen teratas di dalam hierarki liga bolasepak Malaysia.

LIGA SUPER

Dengan berbaki 2 perlawanan lagi (kecuali PKNP dan Selangor yang mempunyai kelebihan satu perlawanan), 1 slot ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Asia menjadi buruan 5 pasukan, dengan Perak (35 mata), PKNS (32), Pahang, Kedah dan Terengganu (31) masih berpeluang untuk mara. Namun saingan dilihat semakin sengit kepada Perak dan PKNS apabila mereka akan berhadapan dengan Kedah dan Pahang yang juga mengejar slot Asia, sebelum berjumpa sesama sendiri.

Kelebihan dilihat memihak Pahang dengan perbezaan gol tertinggi di antara kelima-lima pasukan (+14) yang dilihat mampu memanfaatkan peluang andaikata Perak tergelincir, namun selepas mereka seri 2-2 dengan Melaka United baru-baru ini, Pahang berharap Kedah menewaskan Perak di tempat lawan sambil Pahang mengalahkan PKNS di tempat sendiri, sebelum pertembungan Perak-PKNS.

Bagi 2 slot untuk ke Liga Perdana pula, kemenangan 3-1 Negeri Sembilan ke atas Selangor ini memberi nyawa tambahan kepada mereka. Namun perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur di tempat lawan ini memberi gambaran, andaikata mereka seri atau kalah di Cheras, maka tiada lagi jalan untuk kekal di Liga Super musim hadapan.

Kelantan yang akan berjumpa dengan JDT juga bakal berhadapan dengan jiran-jiran pantai timur mereka yang memburu slot Asia. Andaikata Kuala Lumpur kalah kepada Negeri Sembilan, mereka perlu berharap magik Cheras kembali hadir di Larkin untuk melawan JDT, apabila mereka menang 1-0 sebelum ini sambil berharap Negeri Sembilan kalah dalam derbi Naning.

LIGA PERDANA

Liga Perdana musim ini diwarnai dengan kontroversi Kuantan FA yang menarik diri selepas 8 perlawanan disebabkan kegagalan membayar hutang para pemain, oleh itu hanya 1 pasukan sahaja yang bakal tersingkir ke Liga FAM 2019.

Oleh sebab juara sekaligus pasukan pertama mengesahkan kenaikan pangkat ke Liga Super 2019, Felda United telah diketahui, maka 1 slot lagi untuk ke Liga Super 2019 diperebutkan oleh empat pasukan, iaitu FELCRA (31), MIFA (29), Sabah dan PDRM (25).

Pada awalnya, FELCRA gagal mengesahkan tempat tersebut lebih awal kerana kekalahan 1-2 di tangan JDT II, maka mereka harus menyaksikan perebutan 1 slot ke Liga Super 2019 bertambah saingan daripada dua penjuru menjadi empat penjuru.

Namun MIFA perlu berharap Sabah mengalahkan FELCRA untuk berharap saingan diteruskan ke perlawanan terakhir, atau MIFA boleh menganggap perlawanan terakhir menentang Terengganu II sebagai pelengkap sahaja.

Jika saingan untuk ke Liga Super 2019 terbuka kepada empat pasukan, maka saingan untuk turun ke Liga FAM 2019 juga tidak kalah sengit. 5 pasukan berpeluang untuk tersingkir, iaitu Terengganu II (17), Sarawak (18), UKM FC (19), Pulau Pinang (20) dan UiTM FC (22).

Pertembungan dua pasukan terbawah ini menjadi penentu, sekiranya Sarawak menang di tempat sendiri dan tiga pasukan lainnya mengutip mata, maka Terengganu II sah tersingkir ke Liga FAM. Kecuali jika peraturan baru keluar, di mana pasukan feeder haruslah kekal di Liga Perdana.

LIGA FAM

Liga yang dipandang sepi ini sebenarnya juga berbaki 2 perlawanan (pengecualian kepada beberapa pasukan), sebelum perlawanan memasuki separuh akhir kelayakan. Sedikit maklumat, Liga FAM musim ini dipecah kepada dua kumpulan, dengan 1 kumpulan mengandungi 7 pasukan.

Dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir, dan pasukan yang layak ke perlawanan akhir akan layak secara automatik ke Liga Perdana 2019.

Di kumpulan A, ATM (21), Selangor United (20), MOF (16) dan Kuching FA (15) berpeluang untuk mara ke separuh akhir, walaupun ATM berbaki satu perlawanan sahaja. Namun, berlainan dengan kumpulan B, di mana PJ Rangers dan Terengganu City yang sama sama mengumpul 22 mata telah mengesahkan tempat di separuh akhir, meninggalkan D’Ar Wanderers (15) dan Perlis (14), walaupun Terengganu City mempunyai kelebihan 1 perlawanan disebabkan Hanelang gagal hadir pada perlawanan Rabu lepas.

RAMALAN PENULIS

Di Liga Super, Perak berjaya untuk ke Asia sebagai naib juara liga, sambil menyaksikan Negeri Sembilan dan Kelantan tersingkir ke Liga Perdana 2019. Bagi Liga Perdana pula, FELCRA menemani geng tanah rancangan mereka ke Liga Super 2019 untuk meneruskan derbi tanah rancangan dengan Felda United, sementara itu Terengganu II tersingkir ke Liga FAM 2019.

PJ Rangers menjadi juara Liga FAM mengalahkan Terengganu City, namun jika masalah kewangan menjadi halangan, maka Terengganu City mungkin digantikan dengan ATM untuk layak ke Liga Perdana 2019.

Nota: Artikel tentang 20 previu Liga Bolasepak Malaysia ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Lee Tuck Berseragam Harimau Malaya. Sesuaikah ?

Leave a Reply