Sumber Gambar: Football Tribe

Kontroversi hasil undian bolasepak Sukan Asia yang bakal berlangsung bulan depan masih belum selesai. Sebelumnya, Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) telah membuat undian pada 5 Julai lepas, dan 24 negara diletakkan dalam 6 kumpulan berbeza. Namun selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin mengajukan bantahan kerana negara mereka tidak
dimasukkan dalam undian, maka undian semula akan diadakan.

Perkara ini menjadi gangguan kepada Dato Ong Kim Swee di mana beliau sendiri tidak diberitahu oleh INASGOC sebagai penganjur, ataupun Majlis Olimpik Malaysia. Begitu juga dengan Majlis Olimpik Asia apabila di laman web mereka, tiada hasil keputusan rasmi untuk undian terbaru. Namun menurut ketua INASGOC, Erick Thohir (ingat lagi bekas pemilik Inter Milan ?) menegaskan
tiada undi semula berkaitan UAE dan Palestin, kecuali jika AFC menegaskan untuk mengikutsertakan kedua-dua negara.

Skuad bawah 23 tahun negara akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan China B-23 di China sebelum kembali ke negara untuk berhadapan dengan Arab Saudi B-23. Oleh itu, OKS risau apabila hasil undian semula keluar dan Malaysia diletakkan bersama-sama dengan China atau Arab
Saudi, ini akan menjejaskan taktikal dan mengganggu persiapan pasukan.

Selain itu, pemain JDT yang terpilih ke Sukan Asia, Safawi Rasid berharap pentas kali ini menyerlahkan
bakat dia untuk dapat memikat pemerhati dari Jepun atau Korea Selatan. Selain Safawi, OKS membawa 3 orang pemain di atas 23 tahun, iiatu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Aidil Zafuan. Menurut DOKS, Baddrol seorang pemain serba boleh dan boleh bermain di pelbagai posisi. Aidil
seorang pemain berpengalaman yang mampu menjadi pemimpin, dan pengalaman Rizal sebagai bek atau sayap kanan pula bakal ditagih.

Namun masalah lain bakal dihadapi DOKS. Piala Malaysia yang bakal berlangsung awal Ogos juga mengganggu tumpuan kelab yang mempunyai pemain utama ke Sukan Asia. Seperti ketua pasukan Pahang, Matthew Davies yang terpilih ke Sukan Asia, dia masih kurang pasti sama ada Pahang rela
melepaskannya demi mewakili negara dan meninggalkan Piala Malaysia. Begitu juga, jika kelab terlambat melepaskan pemain mereka ke kem latihan, ianya seperti kurang adil bagi pemain lain yang telah tiba lebih awal.

Kelab juga ada hak untuk tidak melepaskan pemain mereka ke Sukan Asia, memandangkan Sukan Asia bukan termasuk dalam kalendar FIFA. Walau demikian, skuad Korea Selatan B-23 yang melepaskan tonggak utama kelab seperti Son Heung-min (Tottenham Hotspur) dan Jo Hyeon-woo (Daegu FC) yang juga bermain di Piala Dunia, walau mereka merupakan pemain lebih umur menjadi perbandingan.

VENUE BOLASEPAK SUKAN ASIA

Walaupun Jakarta dan Palembang menjadi venue utama Sukan Asia, namun Stadium Gelora Bung Karno yang menjadi venue pembukaan dan penutupan tidak digunakan untuk bolasepak. Stadium Gelora Sriwijaya di Palembang sahaja menjadi venue bolasepak, namun hanya untuk bolasepak wanita.

Sejumlah 5 stadium yang digunapakai untuk bolasepak lelaki berada di Jawa Barat yang bersebelahan dengan Jakarta, iaitu Stadium Jalak Harupat, Gelora Bandung Lautan Api (Bandung), Pakansari (Bogor), Patriot Chandrabhaga (Bekasi), dan Wibawa Mukti (Cikarang). Namun bagi yang bersiap sedia untuk terbang ke Indonesia bagi menyokong Harimau Muda, harga tiket di stadium tersebut dianggarkan boleh mencecah Rp 200,000 (RM 56) sehingga Rp 1,500,000 (RM 420) untuk perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga sahaja. Untuk separuh akhir pula, harga tiket dalam Rp 150,000 sehingga Rp
1,100,000 (RM 42-308). Bagi perlawanan kalah mati lainnya, harga tiket serendah Rp 100,000 sehingga
Rp 750,000 (RM 28-210) ditawarkan.

Pembelian tiket boleh dibeli awal melalui https://kiostix.com/id/AsianGames2018 Namun pastikan
tiket telah dibeli kalau Harimau Muda dah layak ke pusingan seterusnya, atau nanti buat rugi je macam
penyokong Jerman di Piala Dunia baru-baru ini.

Nota: Artikel tentang 20 previu Liga Bolasepak Malaysia ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Penganjur Sukan Asia 2018 Buat Hal!

Leave a Reply