Sumber Gambar: Felda United

Kecemerlangan penjaga gol pasukan bawah 19 tahun negara ketika temasya Piala AFF Bawah 19 Tahun di Indonesia, Mohd Azri Abdul Ghani serta-merta mengangkat populariti beliau di kalangan peminat bola sepak negara.

Ketika ditemui oleh salah satu portal sukan negara, Stadium Astro, Azri menceritakan serba sedikit perjalanan beliau untuk menjadi pemain profesional. Berbekalkan RM50, Azri berangkat ke Kuala Lumpur untuk mencari pasukan yang boleh disertai.

Beliau menghadiri sesi percubaan yang dijalankan oleh beberapa pasukan antaranya PKNS FC dan Felda United. Ketika tiba hari percubaan, Azri antara pemain yang mencuba nasib dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya berkongsi bilik dengan pemandu, berdepan dengan asap rokok dalam bilik kecil ketika pemain lain selesa dengan bilik yang ada aircond” katanya.

Azri menampilkan persembahan yang baik ketika sesi pemilihan dan pengurusan pasukan Felda tertarik untuk mengambil khidmat beliau. Felda kemudiannya merekrut Azri dan insan yang paling gembira mengenai perkara tersebut ialah ibu beliau yang menjadi tempat bergantung Azri sejak berusia 14 tahun setelah pemergian ayah beliau.

Kecemerlangan Azri ketika menafikan sepakan penalti pasukan tuan rumah Indonesia, pada perlawanan sepruh akhir dihadapan lautan penyokong Garuda menjadi titik permulaan yang cemerlang buat penjaga gol muda ini.

Jika Azri mampu mengekalkan momentum beliau ketika beraksi bersama skuad bawah 19 tahun dan juga Felda United, tidak mustahil beliau boleh menjadi penjaga gol nombor satu bagi pasukan bawah 23 tahun negara dan juga pasukan senior.

Kehadiran Azri Abdul Ghani sememangnya tepat pada masanya dimana pasukan negara ketika ini perlukan seramai yang mungkin pemain muda untuk menjadi pelapis pasukan senior pada masa akan datang.

Apa pendapat ada mengenai persembahan cemerlang Mohd Azri Abdul Ghani ketika membantu Malaysia Bawah 19 Tahun memenangi Piala AFF bawah 19 tahun di Indonesia baru-baru ini ? Mampukah penjaga gol muda ini mengekalkan momentum sekaligus mencabar penjaga gol berkaliber yang lain sebagai penjaga gol nombor satu negara ?

Baca Juga: Tugasan Sukan Asia Lebih Penting!

Leave a Reply