Sumber Gambar: Pulau Pinang FA

Pasukan Pulau Pinang berjaya memgharungi musim yang penuh dengan dugaan dan juga halangan apabila mereka kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

Keputusan seri ketika menentang juara Liga, Felda United sudah cukup untuk mengekalkan status Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana musim hadapan.

Pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) menyatakan bahawa hanya satu pasukan sahaja yang akan diturunkan ke saingan Liga FAM memandangkan pembubaran pasukan Kuantan FA pada pertengahan musim ini. Satu pasukan yang dimaksudkan ialah Terengganu FC II yang menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga kesebelas dan mereka akan beraksi di Liga FAM musim hadapan.

Musim 2018 sememangnya satu musim yang sangat berliku bagi pasukan Pulau Pinang. Masalah kewangan yang kritikal menjadi cabaran yang perlu dilalui oleh Pulau Pinang musim ini.

Malah, baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) diarah untuk melunaskan tunggakan gaji lapan pemain bernilai kira-kira RM377,000.00 dalam tempoh 30 hari.

Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2017-2021 pada 25 Julai 2018 memutuskan jika FAP gagal membayar dari tarikh penerimaan keputusan ini, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Menurut Naib Presiden FAP, Mohd Azizuddin Mohd Shariff FAP tidak pernah melupakan segalanya hutang mereka terutamanya kepada  bekas pemain skuad musim 2017 lalu. Tambah Azizuddin, persatuan itu juga turut menanggung hutang pemain sedia ada pada musim 2018 termasuk pemain pasukan Piala Presiden dan Piala Belia.

Untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, FAP kini berbincang dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Azizuddin mengharapkan sesuatu yang positif dapat dihasilkan daripada perbincangan tersebut.

Apa pendapat anda mengenai pasukan Pulau Pinang yang kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana musim hadapan? Mampukah mereka bangkit dengan menyelesaikan segala isu yang melanda pasukan ketika ini sekaligus kembali menjadi pasukan yang digeruni pada musim hadapan?

Baca Juga: 8 Pasukan Meriahkan Challenge Cup Edisi Pertama

Leave a Reply