Sumber Gambar: Utusan

Polemik dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memasuki babak baru apabila Naib Presiden KAFA, Datuk Mohd. Aizuddin menyifatkan pergolakan yang berlaku sehingga ada pihak yang meletakkan jawatan berpunca daripada sikap Bibi Ramjani Ilias Khan.

Menurut laporan Stadium Astro, Datuk Mohd Aizuddin Mohd dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim menyifatkan Bibi seolah-olah menjadikan KAFA seperti hak milik beliau sendiri dan segalanya dibuat secara solo tanpa mempedulikan kewujudan mereka termasuk para EXCO dalam persatuan.

Lebih menyedihkan, para Exco dilihat sebagai musuh dalam selimut dengan anggapan mereka tidak boleh membantu KAFA. Perihal kewangan persatuan juga tidak dibawa ke mesyuarat EXCO, termasuk beberapa tajaan dan geran tahunan daripada FAM. Jumlah dana yang perlu atau sepatutnya dibelanjakan musim ini juga tidak sampai ke pengetahuan para Exco.

Permasalahan ini menyebabkan ada beberapa Exco yang mengeluarkan duit poket sendiri bagi memastikan kebajikan para pemain terjaga dan pemain tidak hilang fokus ketika beraksi. Akhir sekali, menurut Datuk Mohd Aizuddin Mohd dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, Bibi melantik Fajr Ibrahim tanpa sepengetahuan Exco dan memberi kuasa penuh kepada jurulatih dari Syria ini untuk menguruskan segalanya kecuali masalah kewangan.

Semalam, Bibi meluahkan kekecewaan beliau dengan tindakan empat individu penting dalam KAFA yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan di saat pasukan Kelantan berada dalam situasi yang kurang baik.

Menurut Bibi lagi, mereka yang meletakkan jawatan mahu lari daripada tanggungjawab setelah sebelum ini bersusah payah untuk mendapatkan jawatan dalam KAFA.

Bermacam-macam permasalahan yang muncul setelah Kelantan tersingkir ke saingan Liga Perdana musim hadapan. Beberapa pihak dalam persatuan saling menuding jari dan enggan untuk dipersalahkan di atas kejatuhan Kelantan musim ini.

Walau apa pun, KAFA perlu segera menyelesaikan permasalahan yang berlaku agar ianya tidak menggangu fokus pasukan dalam saingan Piala Malaysia yang akan bermula hujung minggu ini.

Apa pendapat anda mengenai kenyataan dua bekas naib presiden KAFA yang mengatakan bahawa sikap Bibi Ramjani yang menjadi punca persatuan tersebut bergolak ? Adakah anda bersetuju dengan mereka ?

Baca Juga: Bibi Ramjani Kecewa Kelantan “Ditinggalkan”

Leave a Reply