Sumber Gambar: Pahang FA

Pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL) menerusi Ketua Pegawai Eksekutif mereka, Kevin Ramalinggam berkata Sumareh akan berstatus sebagai pemain import sehingga 2023 kerana kelahiran Gambia itu masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh MFL.

Menurut undang-undang yang telah ditetapkan oleh MFL, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatan untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan liga tempatan.

Penulis berpendapat perkara ini tidak membantu pasukan kebangsaan yang perlukan khidmat pemain naturalisasi bagi memperbaiki prestasi yang tidak menentu ketika ini. Jika mengikutkan peraturan dan juga kriteria semasa, kita tidak akan melihat kelibat Sumareh bersama pasukan negara sehingga tahun 2023.

Untuk rekod, pemain berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia April lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada musim 2013.

Malah, Sumareh juga sudah menetap di Malaysia sejak beliau berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.

Apa yang penting, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) perlu mengemukakan rayuan berkenaan perkara ini agar MFL mempertimbangkan semula peraturan yang sudah ditetapkan sebelum ini. Menurut Kevin, jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria yang telah ditetapkan, maka sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat apa apa keputusan.

Tambah Kevin, situasi akan berbeza jika Sumareh merupakan pemain kacukan dan beliau tidak akan berdepan sebarang masalah untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan. MFL sebelum ini membenarkan pemain berdarah kacukan kerana mereka percaya berkemungkinan hanya 50 ke 100 pemain berdarah kacukan yang ada kaitan dengan negara ini.

Namun, jika mereka membuka kepada pemain yang tiada kena mengena dengan negara ini, ianya akan menjadi tidak terkawal dan bakal mengancam masa depan pemain tempatan.

Apa yang pasti, Sumareh merupakan satu perjudian yang dilihat berbaloi untuk diperjuangkan kerana kemampuan dan juga kebolehan beliau yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Selain itu, pengalaman yang dimiliki setelah lima musim beraksi dalam saingan Liga Malaysia membuatkan beliau pemain yang sesuai untuk dijadikan pemain naturalisasi negara.

Baca Juga: Mohamadou Sumareh Semakin Hampir Mewakili Malaysia

Leave a Reply