Sumber Gambar: Sports247.my

Peluang pasukan bawah 23 tahun negara untuk mara ke peringkat kedua kelihatannya semakin sukar apabila ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee terpaksa menggugurkan Jafri Firdaus Chew kerana penyerang PKNS FC ini mengalami kecederaan hamstring ketika sesi latihan.

Sebelum ini, Datuk Ong kehilangan dua pemain Johor Darul Ta’zim, Aidil Zafuan dan Syamer Kutty Abba yang mengalami kecederaan. Kemudian, Hadi Fayyadh juga berkemungkinan besar tidak dapat menyertai skuad bawah 23 tahun negara kerana akan menjalani ujian bersama kelab Divisyen 2 Jepun, Roasso Kumamoto selama enam hari.

Dengan pengguguran empat pemain ini, Datuk Ong hanya membawa 22 pemain ke China bagi menghadapi pasukan China bawah 23 tahun dalam satu perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Jakarta.

Menurut Datuk Ong, Jafri terpaksa diketepikan setelah kecederaan hamstring yang dialami memerlukan masa empat minggu untuk pulih. Kini, pasukan bawah 23 tahun negara hanya mempunyai N.Thanabalan dan Syafiq Ahmad sebagai penyerang utama.

Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini semasa perlawanan persahabatan di China ataupun selepas itu, Datuk Ong tidak mempunyai pilihan lain dan beliau akan membawa Hadi Fayyadh ke Indonesia.

Perjalanan pasukan bawah 23 tahun negara sememangnya berliku dan juga penuh dengan cabaran. Jika sebelum ini pasukan negara berhadapan dengan isu pelepasan pemain, kini isu kecederaan pemain menjadi masalah baru yang harus dihadapi dan ianya menjadikan peluang pasukan negara untuk mara ke peringkat seterusnya semakin sukar.

Walau apa pun, diharapkan 22 pemain yang dibawa ke China dapat menyesuaikan diri dengan baik sekaligus membentuk satu gandingan yang mantap sesama mereka menuju ke temasya Sukan Asia yang akan dibuka tirainya tidak lama lagi.

Penting untuk para pemain membentuk satu gandingan yang mantap bagi memastikan mereka mempamerkan aksi terbaik ketika perlawanan peringkat kumpulan kelak. Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E akan memulakan kempen bertemu Kyrgyzstan pada 10 Ogos, diikuti aksi bertemu UAE (12 Ogos), Korea Selatan (17 Ogos) dan akhir sekali Bahrain (20 Ogos).

Baca Juga: Hadi Fayaydh Jalani Ujian Bersama Kelab Jepun

Leave a Reply