Sumber Gambar: FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai perancangan mengenai struktur pemba­ngunan belia dan akar umbi. Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Rama­lingam.

Menurut laporan Kosmo, Stuart Rama­lingam menghadiri mesyua­rat bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Menteri KBS, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di bangunan Parlimen semalam. Dalam mesyuarat tersebut, FAM telah menyerahkan beberapa cadangan dan mereka akan menunggu sebbarang maklum balas daripada Syed Saddiq.

Tambah Stuart, FAM tidak berbincang mengenai naturalisasi atau penglibatan skuad negara pada Sukan Asia 2018 kerana pertemuan tersebut khusus membincangkan mengenai struktur pemba­ngunan belia dan akar umbi.

Sebelumnya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberikan bayangan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan diselia oleh FAM. Ini kerana FAM mahu mereka diberi kepercayaan untuk terbabit sama dalam program itu selepas tiada persefahaman dan rentak seiring daripada kedua-dua pihak sebelum ini.

Jika perkara ini direalisasikan, maka satu tugas yang besar akan menanti FAM kerana mereka perlu mengekalkan kecemerlangan program yang telah meraih pelbagai kejuaraan dan juga anugerah di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Selain mengekalkan rentak semasa, FAM juga perlu mempunyai perancangan bagaimana untuk memajukan dan meningkatkan lagi tahap dan juga mutu NFDP bagi memastikan mereka sentiasa melahirkan pemain akar umbi yang berkualiti.

Penting untuk FAM mempunyai perancangan yang rapi kerana masa depan pasukan kebangsaan sedikit-sebanyak bergantung kepada pemain NFDP. Dalam jangka masa dua atau tiga tahun lagi, generasi pertama NFDP akan memasuki fasa matang dan mereka sudah sedia untuk menandatangani kontrak profesional.

Dan jika perkara itu terjadi, NFDP perlu menggantikan pemain yang sudahpun matang dengan pemain baru agar rantai tersebut tidak putus di tengah jalan dan sentiasa berjalan.

Apa pendapat anda mengenai kemungkinan FAM akan menguruskan NFDP pada masa akan datang ? Adakah langkah tersebut merupakan satu langkah yang bijak ? Atau KBS perlu memikirkan cara lain ?

Baca Juga: Adakah Program NFDP Bakal Diteruskan ?

Leave a Reply