Kancah saingan Piala Malaysia 2018 akan dimulakan pada esok dimana pasukan kumpulan A dan kumpulan D akan berentap menentang lawan masing-masing. Di sini, kami berpendapat pasukan Liga Perdana mampu untuk mencipta kejutan dalam saingan edisi kali ini.

Lima pasukan dari saingan Liga Perdana berjaya layak ke saingan Piala Malaysia edisi kali ini. Lima pasukan yang dimaksudkan ialah juara Liga Perdana, Felda United, Felcra FC, MISC-Mifa, PDRM FA dan satu-satunya pasukan dari Borneo, Sabah.

Dua pasukan membuat penampilan pertama dalam temasya Piala Malaysia. Felcra FC dan MISC-Mifa sudah pasti mahu menjadikan penampilan pertama mereka dalam kejohanan berprestij ini diingati oleh peminat bola sepak tanah air.

Tiga lagi pasukan sebelum ini pernah tampil dalam saingan Piala Malaysia. Tetapi kami lebih tertarik untuk mengupas mengenai pasukan yang sudah lama hilang daripada kancah Piala Malaysia iaitu pasukan Sabah.

Kali terakhir negeri di bawah bayu ini tampil dalam saingan Piala Malaysia ialah ketika edisi 2011. Pada edisi tersebut, Sabah berjaya mara ke peringkat suku akhir namun dikecewakan pasukan T-Team FC atau sekarang yang lebih dikenali dengan Terengganu FC dengan keputusan 4-2 secara agregat.

Meskipun akan beraksi menentang pasukan daripada saingan Liga Super yang mempunyai barisan pemain yang lebih baik, namun tiada apa yang mustahil bagi pasukan Liga Perdana untuk mencipta kejutan dalam saingan edisi kali ini.

Tumpuan sudah pasti diberikan kepada Felda United dan Felcra FC yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan. Dua pasukan ini dilihat bakal memberikan cabaran yang sengit kepada pasukan dalam kumpulan A dan juga kumpulan B. Sabah juga tidak terkecuali kerana mereka pernah melangkah ke perlawanan akhir sebanyak 3 kali.

Apa pendapat anda mengenai peluang pasukan Liga Perdana untuk memberikan cabaran dalam saingan Piala Malaysia edisi kali ini ? Pasukan manakah yang akan melepasi cabaran dalam peringkat kumpulan sekaligus mara ke peringkat suku akhir ?

Baca Juga: Otai Ternyata Masih Berbisa

Leave a Reply