Sumber Gambar: Utusan

Isu melibatkan perlepasan pemain Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kian berpanjangan. Ini selepas kegagalan PBNP melepaskan Matthew Davies dan Nor Azam Azih bagi menghadapi saingan Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia. Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi meluahkan kekecewaan terhadap persatuan bola sepak yang masih gagal untuk melepaskan pemain bagi menghadapi tugasan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau juga mengakui ketiadaan dua tonggak tersebut bukan sahaja dirasai oleh kem pasukan kebangsaan namun seluruh peminat tempatan. Beliau menambah “episod seperti ini sepatutnya sudah tiada dan ini bukan soal kekecewaan saya sebagai pengurus pasukan negara tetapi kekecewaan saya ini dikongsi bersama semua penyokong bola sepak tempatan yang menaruh harapan kepada pasukan negara”.

Mengulas lanjut perkara berkaitan Timbalan Presiden FAM ini menambah “kita selalu dengar alasan seperti ini, bukan dalam kalendar FIFA dan persatuan tak wajib hantar tetapi sekarang ini kita kena fikir kepentingan pemain-pemain ini juga. Pasukan kebangsaan yang sedang dibentuk inilah wajah masa hadapan pasukan kebangsaan, kalau di peringkat umur ini sudah susah nak lepaskan, macam mana esok nak dapat panggilan dan tempat dalam skuad kebangsaan.”

Walaupun kejohanan Sukan Asia berada di luar kalendar FIFA, Yusoff menegaskan setiap persatuan bola sepak di negara perlu berkorban demi membantu pasukan negara. Sudah pasti perkara seperti ini akan merencatkan persiapan yang sedang dilakukan oleh Datuk Ong Kim Swee.

Nor Azam dan Davies merupakan tonggak utama semasa skuad negara beraksi dalam Kejohanan Piala AFC B-23 di China, Januari lalu. Davies telahpun memberi kenyataan berkenaan dengan kegagalannya melapor diri adalah disebabkan arahan yang dikeluarkan oleh PBNP supaya tidak melaporkan diri.

Pastinya Datuk Ong Kim Swee sudah memikirkan pelan B yang akan digunakan selepas ketiadaan 2 tonggak utama itu dengan menggunakan pemain yang sedia ada. Kami peminat bola sepak negara mengharapkan agar kekalutan ini segera berakhir dan tiada lagi episod seperti ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Pemain negara akan berlepas ke China pada 5 Ogos ini untuk ujian persahabatan sebelum berlepas ke Indonesia untuk memulakan saingan Kumpulan E.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Emeir Heyqal. Jika anda mempunyai pendapat yang mahu dikongsikan, hubungi kami menerusi laman media sosial bagi mengketengahkan pendapat anda.

Baca Juga: Pahang Dianggap Tidak Patriotik ?

Leave a Reply